PKP undang rezeki, cabaran baharu kepada peniaga kecil di KADUN Bagan Dalam

Admin

GELOMBANG ketiga pandemik COVID-19 telah mengakibatkan negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi sehingga menjejaskan banyak sektor pekerjaan dan perniagaan.
Berlainan dengan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997 yang mana kesannya hanya bertumpu pada sektor kewangan.

 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza mengikut fasa dan peringkat juga dilihat ‘mengganggu’ perjalanan ekonomi terutama kepada mereka yang bergelar peniaga kecil.

 

Wartawan Buletin Mutiara WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD dalam siri tinjauan sehari ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam, cuba mendekati beberapa peniaga kecil yang juga terkesan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Bekas pemandu bas ekspres kini berniaga nasi dalca
Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu serta pengumuman pelaksanaan PKP ternyata membuka lembaran baharu buat bekas pemandu bas ekspres, IDRIS NOOR MOHAMED.

 

Mesra disapa dengan panggilan Mamu Idris, insan yang berusia separuh abad ini berkongsi kisahnya yang terkena tempias impak pandemik COVID-19.

Ceritanya, sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020, mata pencariannya kian terjejas. Mengambil kira buah fikiran anak-anaknya, dia kini dilihat selesa mengusahakan antara sajian popular dan digemari oleh orang Pulau Pinang iaitu nasi dalca.
Mamu Idris Nasi Dalca terletak di Taman Mewah, Bagan Dalam berhampiran kedai serbaneka 99 Speedmart diusahakan bersama-sama keluarga sejak setahun lalu.

“Selepas terkesan (dari segi pendapatan) akibat (pandemik) COVID-19 saya bincang dengan anak-anak yang kami kena buat sesuatu untuk jana pendapatan.

 

“Sebelum ini pun sebenarnya memang saya ada buat katering secara kecil-kecilan,” ujarnya ketika memulakan bicara pada pertemuan baru-baru ini.

Bercerita mengenai idea memulakan perniagaan nasi dalca ini, Mamu Idris memberitahu bahawa ia merupakan buah fikiran anaknya yang merupakan siswazah di Universiti Malaya (UM).
“Anak saya yang ‘study’ di UM bagi idea untuk mulakan perniagaan.

 

“Bertitik-tolak dari situ, saya meminta bantuan daripada YB Satees (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bagan Dalam, M. Satees) untuk proses lesen penjaja kecil serta dokumen-dokumen berkaitan bagi permohonan di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

“Lebih terharu, permulaan untuk berniaga ini turut didorong oleh kawan-kawan daripada syarikat bas ekspres.

 

“Mereka kumpulkan modal dan beri kepada saya untuk memulakan perniagaan secara kendera saji,” katanya yang turut bersyukur dengan rezeki yang ada hari ini.

Ketika memulakan perniagaan nasi dalca hanya lapan ekor ayam yang digunakan saban hari.

 

“Namun, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) baru-baru ini saya mampu menyediakan hingga 17 ekor ayam sehari sebagai lauk kepada nasi dalca.

 

“Walaupun begitu, sejak FMCO…agak merosot sedikit kepada 13 ekor ayam sahaja.

 

“Konsep saya mudah, berniaga sampai habis, saya tidak mahu lauk hari ini diniagakan pula esok.

 

“Saya cukup tekankan soal kualiti makanan, mesti jaga, tidak habis kita boleh sedekahkan kepada orang lain,” katanya.

Difahamkan, kini dia memulakan perniagaan seawal jam 10:30 pagi hingga lauk-pauknya habis.

 

Menyentuh mengenai keistimewaan nasi dalcanya, anak jati Pulau Pinang berkata, beras yang digunakan adalah beras basmati berkualiti.

 

“Kita nak bagi orang rasa betul-betul nasi dalca sebenar.

“Selain rasa nasi dalca yang sedap, lauk ayam masak merah juga mendapat sambutan daripada pelanggan dan ia menggunakan resipi khas yang dipanggil dalam bahasa Tamil sebagai ‘samma’.

 

“Rata-rata pelanggan berusia 40 tahun ke atas, jadi kita tahu mereka ini cukup berpengalaman, macam-macam nasi mereka dah rasa, jadi sekiranya dapat sambutan daripada golongan macam ini saya bersyukur dan tahu kualiti sebenar nasi dalca kami,” katanya lagi.

Cabaran Indrani dalam perniagaan bunga & barang runcit

Selain Mamu Idris Nasi Dalca, Buletin Mutiara berkesempatan berkunjung ke premis perniagaan bunga dan peruncitan milik S.INDRANI di Jalan Kampung Benggali, Butterworth.

 

Berdepan dengan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lalu, wanita berusia 52 tahun ini memberitahu bahawa ia bukanlah suatu cabaran yang mudah.

 

Memulakan perniagaan menjual bunga lebih tiga tahun lepas menggunakan lesen perniagaan bunga, Indrani terpaksa beralih kepada lesen peruncitan.

 

“Memang sebelum ini ada jual barangan runcit juga, tetapi yang utama adalah bunga.

 

“Sejak pelaksanaan pelbagai (peringkat) PKP, perniagaan sedikit merosot, jadi saya dapat cadangan untuk tukar lesen dan ia memberI don’t sedikit harapan sejurus kedai ini, Vikasheen Flowers & Fruits dapat kebenaran beroperasi.

 

“Dari situ ada sikit pendapatan untuk dijana tatkala pandemik yang masih belum reda ini,” jelas Indrani.

 

Buletin Mutiara juga meluangkan masa mendengar cerita Indrani yang merupakan bekas jururawat sebelum menceburi bidang perniagaan kini.

 

Peniaga soya lebih 20 tahun gusar

Premis terakhir yang sempat dikunjungi oleh Buletin Mutiara adalah premis perniagaan berasaskan soya iaitu Miko Soya Enterprise yang diusahakan oleh CHIN CHANG KIANG, 60 tahun.


Menurut Chang Kiang, memasuki fasa PKP sejak lebih setahun lalu telah mengakibatkan perniagaannya susut kira-kira 40 peratus.

“FMCO sekarang lagi teruk daripada sebelum-sebelum ini, apabila banyak kedai tutup di Chai Leng Park ekoran terdapat kes positif COVID-19 dikesan di sini.

 

“Pengunjung sangat kurang, lagipun saya cuma menjalankan perniagaan secara tradisional tidak menggunakan sebarang aplikasi moden,” responsnya yang agak gusar dengan nasib perniagaannya sekiranya situasi semasa pandemik COVID-19 masih berterusan.


Difahamkan, sejak lebih 20 tahun lalu, Chang Kiang akan memasak sendiri kacang soyanya sebelum menghasilkan produk berasaskan soya untuk dijual.

Premis perniagaannya juga terletak di Jalan Kampung Benggali dekat sini.

ADUN prihatin, bantu penjaja dan peniaga kecil

Pada kesempatan itu, Buletin Mutiara mendapatkan pandangan daripada wakil rakyat Bagan Dalam, Satees berhubung nasib peniaga dan penjaja kecil di kawasannya.

Jelasnya, dia amat prihatin dengan situasi yang melanda peniaga dan penjaja kecil di kawasannya serta sentiasa mengambil maklum perkembangan mereka.

“Malah, saya telahpun meminta kepada MBSP supaya janganlah mengambil tindakan kepada mereka (peniaga dan penjaja kecil) sama ada kompaun atau menutup perniagaan.

 

“Dalam tempoh pandemik ini bukanlah mudah, ramai yang dibuang kerja, ada yang terpaksa gulung tikar dan sebagainya.

“Di pusat khidmat pun, pihak kami cuba bantu sebaik mungkin dari segi lesen penjaja kecil dan keperluan dokumen lain, asalkan perniagaan mereka tidak menimbulkan kacau ganggu.

 

“Nasib mereka ini terumbang-ambing, nak bayar hutang lagi, tidak dinafikan adakalanya ada aduan namun kita perlu tangani sebaiknya agar periuk nasi penjaja dan peniaga kecil juga terbela tatkala berdepan cabaran ekonomi sekarang,” katanya yang berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengambil tindakan dengan membantu golongan ini meneruskan hidup melalui inisiatif dan insentif bersasar atau apa-apa jua bentuk bantuan.