110 asnaf dari ‘kampung TYT’ terima pek bantuan ZPP

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (depan, kanan) menyerahkan pek bantuan ZPP kepada salah seorang penerima sebelum Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Permatang Rambai, Penaga pada lewat petang ini.

PENAGA – Seramai 110 asnaf termasuk 10 saudara baru daripada kariah Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas pada lewat petang ini menerima agihan sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) berupa pek bekalan makanan asasi.

Sumbangan bantuan itu diagihkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Selain wakil TYT Tun, hadir sama adalah Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Rosli Halim; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zakuan Zakaria; dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr. Roslan Ahmad.

Serentak majlis sama, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua MAINPP turut menyerahkan replika cek bernilai RM10,000 kepada jawatankuasa kariah Masjid Jamek Permatang Rambai, iaitu RM7,500 adalah sumbangan Pejabat Timbalan Ketua Menteri I sementara baki RM2,500 lagi adalah daripada sumber zakat ZPP.

Sebelum ke acara seterusnya iaitu majlis berbuka puasa, Ahmad Zakiyuddin turut menyerahkan plak Iftar Jamaie Siri Ke-2 kepada jawatankuasa kariah masjid di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR