12 muka baharu angkat sumpah jawatan Ahli Majlis MBSP

Admin
SUASANA di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP.

SEBERANG JAYA – Seramai 22 individu termasuk 12 muka baharu hari ini mengangkat sumpah penerimaan jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Disember 2024.

KETUA Menteri

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini.

Turut menyaksikan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan Setiausaha Bandaraya, Badrul Amin Abdul Hamid.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya berharap kesemua barisan Ahli Majlis MBSP bagi Sesi 2023/2024 dapat terus membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit mewujudkan pelbagai lagi inisiatif baharu demi melonjak Pulau Pinang ke status negeri maju.

“Selain daripada usaha mencapai visi dan misi MBSP iaitu menang pelbagai penganugerahan peringkat antarabangsa, mengawal kedudukan kewangan dan peruntukan serta membawa perkhidmatan kepada rakyat, saya berharap MBSP akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 yang dilancarkan pada tahun 2018.

“Memandangkan visi ini masih mempunyai beberapa tahun (untuk dicapai) dan kita sekadar mencapai 47 peratus sahaja, maka dalam lima tahun akan datang kita dapat meneruskan perjuangan sehingga tercapai matlamat Visi Penang2030,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Beliau menambah, dengan pengalaman Mooi Lye sebagai Ahli Majlis MBSP sejak tahun 2023 sebelum dilantik sebagai Exco, diharapkan dapat membantu PBT berkenaan mewujudkan pelbagai lagi inisiatif pintar.

Berucap sebelum itu, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi berharap kesemua 22 Ahli Majlis MBSP yang baru dilantik supaya terus mengamalkan budaya integriti di samping meningkatkan mutu perkhidmatan mengikut ekspektasi pelanggan yang kian tinggi.

Sementara itu, Azhar pula dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow atas sokongan selama ini sehingga meletakkan MBSP pada kedudukan sekarang dengan pelbagai penerimaan anugerah baik peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan termasuk dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Zainuddin Mohamed, Derick Chong Wei Hoong, C. Linggeswaran, Victor Ng Wai Leong, V.A.S. Ponnudurai, Nurhidayah Che Rose, Muhammad Fadzli Roslan, K. Preedeb Kumar, Darwim Lim Chee Chien, Nur Aishah Zainol, Muhammad Fotri Termizi dan Benson Neoh Kak Wei merupakan 12 muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP sesi 2023/2024.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya berharap barisan Ahli Majlis MBSP yang dilantik turut mengambil bahagian bagi merealisasikan 50 janji yang ditawarkan dalam ‘Manifesti Perpaduan’ sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada pertengahan bulan Ogos lepas.

Menjawab soalan pemberita, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu bahawa pihaknya difahamkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat hari ini untuk menamakan dua calon bagi melengkapkan senarai 24 Ahli Majlis MBSP sesi 2023/2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD