1,263 pelajar dari Seberang Perai terima bantuan kewangan daftar masuk universiti

BERTAM – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini menyampaikan bantuan kewangan pendaftaran masuk ke universiti kepada 1,263 pelajar, bagi tahun ini.

Mengikut daerah, 554 pelajar daripada daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (467) dan Seberang Perai Selatan (242) menerima bantuan tersebut atas kejayaan melanjutkan pengajian ke universiti awam terpilih termasuk politeknik.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemberian sumbangan itu sebagai simbol Kerajaan Negeri menghargai bakat Pulau Pinang.

Lagipun, katanya, Pulau Pinang tidak mempunyai sumber asli berbanding negeri-negeri lain.

“Kita (Kerajaan Negeri) percaya dengan sumber asli yang terhad di negeri ini, kebergantungan kepada manusia amat dititikberatkan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sangat menjaga kebajikan anak-anak negeri ini dengan hasrat dan harapan agar para pelajar ini dapat menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat pengajian kelak,” jelas Kon Yeow pada Majlis Pemberian Sumbangan Mahasiswa Daftar Masuk Universiti di Dewan Millenium, pagi ini.

Turut berucap sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh;  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; M. Satees (ADUN Bagan Dalam); H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi); Mohd. Tuah Ismail (ADUN Teluk Bahang) dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Marlia Mohd. Belia antara pimpinan Kerajaan Negeri yang turut sama memeriahkan majlis pagi ini.

Tambah Kon Yeow, mahasiswa yang melanjutkan pengajian di universiti awam sekitar Semenanjung Malaysia layak menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000, manakala RM1,200 bagi pelajar yang ditawarkan masuk ke universiti awam di Sabah dan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu Kerajaan Negeri mulai saat ini sehingga tahun 2030 komited meningkatkan kualiti pembangunan bandar, memelihara persekitaran serta menarik bakat-bakat muda, seiring dengan visi ‘Pulau Pinang 2030’ yang memfokuskan kesejahteraan keluarga dan menjadikan Pulau Pinang negeri hijau.

“Kita amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang dan seterusnya dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik bakat-bakat baru dan terbaik selaras dengan revolusi digital dan revolusi industri 4.0.

“Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha dan bekerjasama untuk menggembleng tenaga, menyumbang idea dan bakat demi negeri tercinta ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD