SEBERANG JAYA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) iaitu syarikat subsidiari di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini menerima sejumlah RM3,834,502.76 zakat perniagaan bagi haul 2023, daripada 13 institusi korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali sendiri menerima zakat perniagaan daripada Koperasi Tunas Muda Sungai Ara berjumlah RM961,069.24; Co-OpBank Pertama Malaysia Berhad (RM595,455.00); RHB Islamic Bank Berhad (RM400,000.00); Bank Muamalat Malaysia Berhad RM332,710.56); CelcomDigi Berhad (RM322,690.00); Bank Islam Malaysia Berhad (RM296,000.00); AEO Freight Sdn. Bhd. (RM218,000.00); AgroBank (RM200,000.00); UDA Holding Berhad (RM170,128.00); Syarikat Hang Tuah Sdn. Bhd. (RM156,562.83); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, ANGKASA (RM156,350.08); Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000) dan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (RM95,665.05).
Selepas menyaksikan majlis melafazkan penyerahan dan penerimaan zakat perniagaan tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid memberitahu bahawa peranan yang dimainkan oleh institusi-institusi korporat dengan membayar zakat perniagaan apabila telah cukup haul, sedikit – sebanyak menyumbang pada usaha meningkatkan jumlah keseluruhan kutipan zakat tahunan yang ketika ini sekitar RM165 juta.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, MAINPP melalui ZPP menyasarkan jumlah kutipan zakat bagi tahun 2025 berjumlah RM200 juta, berdasarkan prestasi kutipan semasa zakat fitrah dan zakat perniagaan ketika ini.
“Dari sudut agenda pembangunan agama Islam di negeri Pulau Pinang ini, meletakkan ekonomi sebagai teras dengan memberi fokus pada (pengurusan) zakat dan wakaf.
“Maka, di bawah pimpinan yang baru ini, kita (MAINPP) telah meletakkan suatu taksiran yang luas bukan sahaja dari sudut pembangunan ekonominya, tetapi kita perlu untuk melihat pembangunan sosial ekonomi ummah.
“Maka, usaha menggerakkan zakat sebagai nadi teras di bawah MAINPP (yang mana) sebagai pemegang amanah tunggal mengutip dan mengagihkan zakat di negeri Pulau Pinang ini adalah amat penting.
“Oleh itu, adalah penting para majikan dan institusi korporat bersama-sama dengan MAINPP dan ZPP bagi melonjakkan jumlah kutipan (zakat) dengan sasaran bagi tahun 2025 sebanyak RM200 juta demi membangunkan sosioekonomi ummah,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP semasa merasmikan
Berucap sebelum itu, Amran turut merakamkan ucapan terima kasih kepada 57 wakil majikan yang hadir bagi menerima plak penghargaan atas kesetiaan dan komited membayar zakat gaji dengan membuat bayaran potongan gaji menerusi Skim Sakinah ZPP.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR