13 mural di Pavilion Pulau Pinang unik, menarik perhatian PM, Ketua Menteri dan pengunjung MAHA 2024

9c98b160 a6cc 4ad4 813e a0ec362980dc BERLATARBELAKANGKAN salah satu dari 13 mural menarik di Pavilion Pulau Pulau sempena edisi ke-100 MAHA 2024, Ketua Menteri (tengah) menyampaikan replika feri lama buatan tangan ‘Pak Non Feri’ kepada Perdana Menteri (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad Sabu (kanan sekali) menjelang tengah hari tadi.

SERDANG, SELANGOR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meluangkan masa bagi menyertai Majlis Pelancaran edisi ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada 14 September 2024.

7b92c18d 913d 48f7 9309 0f315f7a22ab
KETUA Menteri (kiri) turut mengambil kesempatan mempromosi produk seorang usahawan agro-makanan negeri di Pavilion Pulau Pinang di sini tadi.

Seusai majlis perasmian acara dwi tahunan tersebut, Kon Yeow bersama-sama Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol mengiringi Anwar dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat Pavilion Pulau Pinang di sini.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Abdul Kahar Abdullah.

f410014c 787a 4cfa bf89 e7943a8842bc
PERSEMBAHAN bertenaga kumpulan boria Omara di gerbang masuk Pavilion Pulau Pinang menambahkan lagi tarikan pengunjung MAHA 2024 ke sini tadi.

Di gerbang masuk utama pavilion negeri, sekalian tetamu kehormat disambut dengan persembahan Kumpulan Boria Omara yang begitu meriah.

Di sini, Anwar, Mohamad dan Kon Yeow dibawa melawat ke gerai-gerai pameran produk pertanian dan makanan terpilih negeri.

Perapan daging kambing jenama Pak Mat Western, Mommy Syantikk (sambal acar), J Ocean World (latok-latok), Makton Food Resources (sambal pedas), Aray Daun Lenggang (losyen organik untuk kulit gatal), Pak Li Food (jeruk buah-buahan), Makmur Bakery (biskut), Kairos (produk pelbagai berasaskan vanila), Miraico (makanan kucing) dan Sireh House (produk kesihatan) antara peserta reruai pada kali ini.

Sempena ulang tahun ke-100 pameran tersebut, Fahmi memberitahu Buletin Mutiara bahawa pada kali ini, pihaknya cuba membawa sedikit kelainan pada wajah pavilion Pulau Pinang berbanding 14 pavilion negeri lain, selaras dengan tema penganjuran pada kali ini iaitu ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’.

img 1835
FAHMI Zainol (kiri) dan Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul turut merakamkan gambar berlatarbelakangkan satu mural menarik di Pavilion Pulau Pinang @ MAHA 2024.

Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak menyatakan bahawa kelainan di pavilion negeri Pulau Pinang kali ini antaranya dapat dilihat pada 14 lukisan dinding atau mural di sini.

“Sebelum ini, kita sedar rata-rata pavilion negeri termasuk Pulau Pinang hanya melibatkan pameran agensi-agensi berkaitan kerajaan negeri itu sendiri.

“Jadi, pada tahun ini (2024), saya mencadangkan untuk membawa keunikan agro pelancongan negeri Pulau Pinang ke sini, yang diterjemahkan melalui 10 mural di dalam ruang pameran pavilion dan tiga lagi di luar (bangunan) pavilion ini.

“Kita cuba membawa identiti negeri Pulau Pinang ke MAHA 2024 ini, yang mana bukan setakat produk berasaskan pertanian sahaja, malah pada masa sama nak tarik pengunjung tempatan serta pengembara antarabangsa yang datang ke pavilion negeri untuk melancong ke Pulau Pinang.

“Daripada 13 mural ini, ada juga mural berkaitan projek-projek akan datang negeri, contohnya, jeti tuna, ternakan fidlot dan projek jagung manis yang belum dilaksanakan lagi dan dalam perancangan pada tahun 2025.

“Kita cuba menguar-uarkan beberapa projek agro-pelancongan negeri ini kerana MAHA menyediakan pasaran perdagangan yang begitu besar serta siri rundingan antara usahawan pertanian juga luas,” ulasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD.

ed59d808 1e29 4591 bb10 3af39e7ccc34
ANWAR Ibrahim semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pelancara Edisi Ke-100 MAHA 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor di sini menjelang tengah hari tadi (14 September 2024).

Semasa merasmikan MAHA 2024, Anwar berkata bahawa pentadbirannya berharap penganjuran acara selama 12 hari sehingga 22 September ini dapat mencapai sasaran penganjuran iaitu dalam bentuk perjanjian bernilai RM6 bilion melalui memorandum persefahaman dan persetujuan serta jualan bernilai RM40 juta.

Sebagaimana hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap MAHA 2024 turut menyasarkan sejumlah 4,000 permohonan geran dan padanan perniagaan bernilai sehingga RM600 juta.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu bahawa berbanding negeri-negeri lain, Pavilion Pulau Pinang setakat empat hari penganjuran MAHA 2024 telah menerima lebih 8,000 pengunjung.

“Berbanding negeri-negeri lain, Pavilion Pulau Pinang berada pada kedudukan tiga negeri paling atas menerima ramai pengunjung setakat empat hari ini,” ujarnya.

cdfb6129 2194 46bf 9152 64919b14601e
HAFIDZ Adnan

Hafidz Adnan yang ditemui kemudian memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau bersama-sama rakannya dari ‘Lokalhouz’, Abdul Qoyyum Mohd. Nadzri mengambil masa selama kira-kira sebulan juga untuk menyiapkan kesemua 13 mural untuk dipamerkan dalam Pavilion Pulau Pinang sempena MAHA 2024.

99498118 ed7a 4256 87bb 7e07d10ecebd
HAFIDZ Adnan

“Idea asal untuk membawa ‘street art’ (iaitu) 13 lukisan mural ini memang daripada Exco (Fahmi Zainol) sendiri, beliau mahu kelainan dalam Pavilion Pulau Pinang sempena edisi ke-100 MAHA 2024.

“Beliau (Fahmi) mahu Pavilion Pulau Pinang ini memainkan peranan seperti serampang dua mata (iaitu) nak mempromosi produk-produk pertanian dan agromakanan negeri, di samping sektor pelancongan pertanian negeri secara serentak.

“Contoh mural yang menarik perhatian YAB Perdana Menteri apabila melawat Pavillion Pulau Pinang pada tengah hari tadi adalah lukisan dinding beliau bersama-sama YAB Ketua Menteri dan Dato’ Arumugam (penyanyi kumpulan Alleycats).

“Mural ini jelas membawa mesej…mempromosi varieti durian Balik Pulau kepada pengunjung di samping memberitahu semua pihak bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri eksport durian tertinggi negara.

“Sempena MAHA 2024, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menonjolkan ‘street arts’ seperti 13 mural ini… dua tahun akan datang mungkin akan ada pavilion negeri lain akan mengetengahkan konsep sebegini yang telah kita mulakan kini,” jelasnya.