Laporan EIA PSR dipamerkan kepada orang awam hingga 18 Jun

Admin

LAPORAN Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) dipamerkan kepada orang awam bagi tempoh sebulan bermula 20 Mei hingga 18 Jun 2022.

 

 

Laporan tersebut telah disediakan oleh pakar-pakar alam sekitar dan kejuruteraan untuk memastikan impak projek dapat diminimumkan serta mencadangkan langkah-langkah mitigasi yang bertujuan memelihara alam sekeliling dan kepentingan penduduk setempat.

 

 

Antara langkah mitigasi yang dinyatakan dalam laporan ini adalah langkah kawalan alam sekitar dan program pengimbangan (offset) ekologi termasuk penanaman pokok bakau, pelepasan benih ikan dan udang, pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pembinaan garis pantai mesra alam, peruntukan untuk kajian marin, penyu dan perikanan, serta lain-lain.

 

 

Pelaksanaan program pengimbangan ekologi sudah bermula dengan program penanaman 3,200 pokok bakau yang melibatkan Penang Infrastructure Corporation (PIC), rakan pelaksana projek SRS Consortium, Jabatan Perhutanan Negeri dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) sejak 2016.

 

 

Pembangunan PSR juga menyasarkan untuk menanam 22,300 pokok bakau di Pulau A yang akan memperuntukkan 20 ekar tanah bagi penanaman pokok pesisiran pantai demi mewujudkan habitat baru dan kawasan nurseri ikan dan udang.

 

 

Pameran awam laporan EIA ini bertujuan untuk menyebarkan maklumat kepada pihak berkepentingan dan orang awam serta mendapatkan maklum balas mengenai cadangan projek tersebut.

 

 

Pengarah kejuruteraan pinggir laut dan hidraulik dari firma perunding Dr. Nik and Associates, Nik Abdullah Muaz Nik Mohd. Kamel menjelaskan apa sebenarnya laporan EIA dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), serta peranannya dalam mengawal dan mengurangkan kesan penambakan PSR.

 

NIK Abdullah Muaz Nik Mohd. Kamel.

 

 

  • Apakah laporan EIA dan tujuannya?

 

EIA adalah kajian yang menilai kesan yang berpotensi berlaku akibat pelaksanaan sebuah pembangunan yang dikategorikan sebagai “aktiviti yang ditetapkan” mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (EIA) 2015.

 

Di bawah subseksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pihak yang hendak menjalankan aktiviti yang ditetapkan yang boleh mengakibatkan kesan yang bererti pada alam sekeliling wajib mengemukakan laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

Tujuan laporan EIA adalah untuk mengenal pasti kesan alam sekeliling, sosial dan kesihatan yang berpotensi timbul akibat sesuatu pembangunan yang dicadangkan; dan mencadangkan langkah-langkah mitigasi yang sesuai.

 

  • Apakah jenis pembangunan yang memerlukan laporan EIA?

 

Perkara ini diperincikan dalam Jadual Pertama dan Kedua Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (EIA) 2015. Jadual Pertama dan Kedua masing-masing menyenaraikan sebanyak 21 dan 17 kategori aktiviti-aktiviti pembangunan yang tertakluk kepada penyediaan laporan EIA.

 

Antaranya adalah projek pengorekan, penebusgunaan tanah (penambakan), aktiviti pertanian melebihi kawasan 20 hektar, projek akuakultur berasaskan penggunaan tanah, aktiviti pengeluaran bahan kimia dan petrokimia, aktiviti kuari, pembinaan stesen janakuasa, infrastruktur pengangkutan, loji penapisan minyak dan gas, pembangunan kawasan pinggir laut dan cerun, pembangunan bandar baharu, dan lain-lain.

 

  • Apakah proses yang terlibat dalam penyediaan laporan EIA dan maklumat yang terkandung dalam dokumen tersebut?

 

Adalah mustahak bagi pemilik projek untuk memahami keperluan undang-undang dan mematuhi semua syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, serta komited untuk melaksana dan menyediakan dana yang mencukup untuk menjayakan langkah mitigasi yang dicadangkan.

 

Selain JAS, pemilik projek juga perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan-jabatan teknikal yang lain seperti PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Laut Malaysia dan sebagainya.

 

Peringkat utama dalam proses EIA adalah:

  1. Definisi projek (terma rujukan) – mendefinisikan kenyataan keperluan, saiz dan sifat projek
  2. Penyaringan – memutuskan sama ada laporan EIA diperlukan
  3. Skop – memutuskan perkara yang perlu dilaporkan dalam EIA
  4. Penyediaan laporan EIA – menjalankan dan melaporkan kajian garis dasar, ramalan kesan alam sekitar dan mencadangkan langkah mitigasi
  5. Permohonan dan konsultasi – laporan EIA dan permohonan projek dihebahkan secara umum, termasuk melalui iklan elektronik; dan pihak berkepentingan serta orang awam diberi peluang memberi maklum balas
  6. Keputusan – pihak berkuasa berkaitan (JAS) dan panel pakar mempertimbangkan laporan EIA dan komen-komen mengenainya untuk memutus sama ada projek boleh diluluskan, dan menghebahkan keputusan tersebut
  7. Pasca keputusan – pemilik projek atau pemaju memulakan pemantauan yang diwajibkan oleh pihak berkuasa

 

Isi kandungan utama dalam laporan EIA merangkumi:

  1. Pematuhan projek kepada keperluan undang-undang dan garis panduan perancangan
  2. Keadaan garis dasar (baseline) persekitaran fizikal, biologi dan manusia di tapak projek, serta kawasan sensitif alam sekitar
  3. Perincian cadangan metodologi dan aktiviti projek
  4. Penilaian kesan projek yang berpotensi kepada alam sekitar
  5. Perincian cadangan langkah mitigasi yang akan dilaksanakan

 

  • Apakah itu EMP?

 

EMP adalah alat atau dokumen panduan untuk mengukur dan mencapai pematuhan kepada keperluan melindungi alam sekitar dan melaksanakan langkah mitigasi seperti yang telah ditetapkan dalam laporan EIA.

 

EMP mesti dikemukakan kepada JAS untuk kelulusan sebelum projek dibenarkan memulakan kerja fizikal di tapak.

 

  • Bagaimanakah laporan EIA dan EMP membantu meminimakan kesan alam sekitar dalam projek pembangunan?

 

Laporan EIA akan meneliti dan mengenal pasti kawasan sensitif alam sekitar dan kesan projek. Untuk meminimakan kesan ini, langkah mitigasi dan program pemantauan akan disyorkan untuk memastikan projek dijalankan secara hemat.

 

Adakalanya, kesan projek tidak dapat dielakkan. Maka, tadbir urus dan langkah kawalan yang baik adalah perlu di tapak projek.

 

Laporan EIA akan menilai dengan terperinci kesimbangan antara kesan alam sekitar dan kebaikan keseluruhan pembangunan tersebut.

 

  • Apakah langkah mitigasi yang dilaksanakan untuk meminimakan kesan alam sekitar dalam projek penambakan?

 

Penyesuaian dan amalan pengurusan terbaik adalah diperlukan. Pasukan pelaksana wajib memahami dan meneliti keadaan di tapak projek dari masa ke masa untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah mitigasi tersebut.

Stesen pemantauan kualiti udara, kualiti air, bunyi dan lain-lain mesti ditempatkan secara strategik dalam kawasan tapak projek dan berhampiran dengan kawasan sensitif alam sekitar untuk memastikan bacaan mematuhi had piawaian.

 

Pemilik projek mesti berhenti kerja dan mengambil langkah pemulihan sekiranya bacaan melebihi had piawaian.

 

Alat pemantauan kekeruhan/kelodakan akan memantau kualiti air untuk mengelak serakan air akibat bahan korekan. Sistem atas talian ini akan mencetuskan amaran kepada pasukan pemantauan sekiranya tahap kekeruhan melepasi had yang dibenarkan.

 

Untuk mengawal tahap kekeruhan, ban perimeter akan dibina di tapak penambakan sebelum proses pengisian pasir. Tirai kelodak juga dipasang untuk tujuan yang sama.

 

Satu lagi contoh langkah mitigasi adalah penggunaan Sistem Pengurusan Pengorekan dan Lambakan (DDMS) yang boleh mengesan pergerakan kapal korek dari tapak pengorekan ke tapak projek dan tapak pelupusan. Ini akan mencegah kerja pengorekan yang tidak terkawal dan pembuangan secara haram.

 

  • Pada pandangan anda, mengapa pihak pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis tetap mengkritik projek pembangunan baru walaupun kelulusan EIA telah diperolehi?

 

Saya berpendapat ada beberapa sebab mengapa mereka tetap bersikap kritikal terhadap projek pembangunan baru, khususnya projek seperti ini. Mereka mengambil berat tentang isu alam sekitar, dan ini adalah sesuatu yang baik.

 

Mereka mahu permahaman dan kebimbangan mereka tentang pembangunan tersebut diberi perhatian. Kebimbangan mereka boleh ditangani melalui sesi libat urus yang menerangkan pembangunan tersebut dan langkah-langkah mitigasi. Pihak JAS mempunyai garis panduan untuk EIA bagi tujuan menjaga alam sekitar.

 

Sesetengah pihak juga mungkin menyuarakan bantahan kerana mereka akan terkesan dalam pelaksanaan projek dan perlu diberi perhatian dan kemungkinan memerlukan pampasan yang sewajarnya. Perkara ini perlu ditangani oleh penggerak projek.

 

 

 

-Tamat-