138 Polis Bantuan PBAHB ditauliah, awasi keselamatan air negeri

Admin

SUNGAI DUA – Istiadat perbarisan dan pemakaian pangkat Polis Bantuan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) melibatkan 138 anggota di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua disempurnakan oleh Ketua Polis Negeri, Datuk T. Narenasagaran.

IR. Jaseni Maidinsa (kiri) memakaikan lencana pangkat kepada seorang anggota sambil disaksikan oleh T. Narenasagaran dalam istiadat perbarisan dan pemakaian pakat Polis Bantuan PBAHB di LRA Sungai Dua di sini pada pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu pasukan polis bantuan di bawah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ditubuhkan pada 28 November 2013 dengan 11 anggota sahaja.

“Dengan lebih ramai anggota dan kenderaan, Polis Bantuan PBAHB akan terus memberi keutamaan keselamatan pepasangan bekalan air di Pulau Pinang dan keselamatan awam di empangan-empangan Pulau Pinang,” jelas Jaseni pada 29 November 2019, sambil merakamkan penghargaan atas sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama ini.

Turut serta, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK), SAC Zundin Bin Mahmood.

Mengulas lanjut Jaseni memaklumkan bahawa Polis Bantuan PBAHB yang diketuai oleh ASP Rusdi Junos, bertanggungjawab setiap hari untuk menjaga keselamatan di pepasangan bekalan air seperti di Terusan Sungai Dua sepanjang 14 kilometer (km); tiga empangan air; sembilan LRA; sembilan rumah pam utama; 58 kolam air; tiga kompleks operasi sehenti; dan sembilan unit khidmat pelanggan.

Sementara itu, Narenasagaran ketika berucap mengingatkan para anggota Polis Bantuan PBAHB supaya kekal berdisiplin serta menjaga imej PDRM kerana keanggotaan serta tanggungjawab mereka adalah hampir sama dengan polis sebenar.

“Polis Bantuan boleh menjadi rakan yang rapat kepada PDRM untuk menyalurkan segala maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah,” ujarnya.

Tegasnya lagi, penugasan Polis Bantuan PBAHB adalah tertakluk di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), yang mana LRA Sungai Dua dikategorikan sebagai Keutamaan 1 Sasaran Penting Negeri Pulau Pinang.

“Manakala, empangan lain seperti Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang adalah dikategorikan sebagai Keutamaan 2,” katanya sambil menyeru para anggota Polis Bantuan PBAHB supaya komited dalam tugas-tugas berkaitan keselamatan negeri.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada 44 anggota Polis Bantuan PBAHB yang telah berjaya menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) selama lebih dua bulan.

Serentak dengan upacara sambutan Ulang Tahun Ke-6 Pasukan Polis Bantuan PBAHB, Narenasagaran turut memakaikan pangkat Pegawai Kanan Polis Bantuan yang membawa pangkat ‘Assistant Superintendent of Police’ (ASP) serta kenaikan pangkat tiga Konstabel Polis Bantuan kepada pangkat Koperal.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Jaseni memberitahu kesemua Polis Bantuan PBAHB seramai 138 anggota ini akan mengendali 24 pondok keselamatan, dilengkapi enam kereta peronda, 12 motosikal; termasuk trak pacuan empat roda dan tiga motosikal ‘off road’ yang akan ditauliahkan pada hari ini.

Beliau turut menjelaskan rekod kejayaan Polis Bantuan PBAHB sebelum ini iaitu mencegah kecurian sisa besi dari LRA Sungai Dua; membantu PDRM menangkap tiga suspek yang memasuki kawasan larangan di Empangan Mengkuang dan mematahkan percubaan untuk mencuri pokok gaharu dari kawasan Empangan Air Itam.

“Kami melaksanakannya (menambah keanggotaan Polis Bantuan PBAHB) kerana kami menganggap ia adalah pelaburan yang baik dalam aspek keselamatan,” jelas Jaseni lagi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS