*140 individu terpilih terima hamper Tahun Baru Cina ADUN Seberang Jaya*
SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin menyerahkan hamper kepada 140 penerima terpilih, sempena sambutan Tahun Baru Cina tiba tidak lama lagi.
Penerima, terdiri daripada golongan warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) serta individu daripada keluarga berpendapatan isi rumah rendah (B40).
“Umum mengetahui bahawa Tahun Baru Cina adalah perayaan kebudayaan yang penting untuk komuniti Cina.
“Hamper yang kita agihkan pada malam ini pun adalah berupa keperluan dapur, kerana menurut kebudayaan Cina, sepatutnya bekalan beras, gula, tepung dan lain mesti penuh dalam bekas simpanan di dapur menjelang perayaan ini,” jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini pada 24 Januari 2019.
Dalam perkembangan sama, Dr. Afif turut menjemput para penerima sumbangan hamper menyertai Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat KADUN Seberang Jaya yang dijadual pada 16 Februari depan, bermula jam 8.00 malam di Taman Janggus Jaya, Permatang Tok Kandu.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: PEJABAT EXCO