14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen bakal terima manfaat one-off RM500 Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sejumlah 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen bakal menerima manfaat bantuan tunai RM500 secara one-off daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa sejumlah RM7 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut.

Di mana, jelas beliau pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masingnya telah mengenal pasti seramai 13,281 orang peniaga dan penjaja berlesen di kawasan pentadbiran mereka.

“Ini termasuk peniaga pasar awam, kompleks makanan, pasar malam dan kendara saji (food truck) iaitu 6,324 org di bawah MBPP dan MBSP (6,957).

“Manakala, baki 731 peniaga daripada keseluruhan (14,012) adalah penjaja pasar tani di bawah kelolaan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” ujarnya sambil memaklumkan bahawa golongan tersebut boleh mula membuat semakan berhubung status kelayakan mulai 1 April ini menerusi laman sesawang www.mbpp.gov.my dan www.mbsp.gov.my.

Turut serta Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP); Dato’ Azhar Arshad (Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)) dan ‘Ainul Fadhilah Samsudi (Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).

Terdahulu, Ketua Menteri pada 25 Mac lalu mengumumkan sejumlah RM75 juta untuk disalurkan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang membabitkan 16 inisiatif bagi membantu golongan paling terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Pada sidang media sama, Jagdeep turut menyambut baik beberapa pengumuman Kerajaan Negeri berhubung insentif khas RM300 kepada para petugas barisan hadapan di kedua-dua PBT dan perolehan bekalan peralatan keselamatan diri membabitkan peruntukan RM10 juta.

“Sepanjang tempoh perintah ini berkuat kuasa, seramai 4,791 pekerja telah dikerah untuk bertugas di barisan hadapan yang dikenali sebagai Skuad Khas COVID-19.

“Demi menghargai jasa dan sumbangan wira barisan hadapan yang mengambil risiko bertugas untuk rakyat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM1.4 juta untuk pemberian insentif khas ini.

“Pihak Kerajaan Negeri juga memandang serius masalah kekurangan bekalan peralatan keselamatan untuk pekerja barisan hadapan dan orang awam.

“Justeru, RM10 juta telah diperuntukan untuk tujuan mendapatkan bekalan pelitup muka, pensanitasi tangan dan termometer infra merah,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sementara itu, pengecualian sewa bulanan Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat, pengecualian sewa premis-premis di bawah Kerajaan Negeri dan PBT serta penangguhan tempoh bayaran skim sewa-beli Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) turut membantu meringankan beban golongan terkesan.

Menurut Jagdeep, melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang tersebut, kedua-dua PBT terpaksa menanggung implikasi kewangan sebanyak RM1,976,988.02.

“Jumlah ini tidak termasuk dengan kos yang perlu ditanggung MBPP dan MBSP bagi keperluan pembelian PPE, barang keperluan disinfektan dan peningkatan kos operasi kutipan sampah domestik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN