15 koperasi terima geran bantuan Kerajaan Negeri

SUNGAI DUA – Sebanyak 15 buah koperasi yang layak di negeri ini telah dipilih sebagai penerima geran bantuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah antara RM10,000 hingga RM15,000.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa pemberian geran bantuan di bawah inisiatif “Penang2030 Coop Grant” itu adalah untuk membantu koperasi memulihkan semula perniagaan pasca pandemik COVID-19.

Ir. Ahmad Zakiyuddin semasa merasmikan Program Coop Food dekat Masjid Abdul Rashid sempena penganjuran Pasar Coop pada Sabtu lalu.

“Semua koperasi yang mengemukakan permohonan telah dinilai oleh jawatankuasa yang dipengerusi oleh saya sendiri serta ahli-ahli Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta pegawai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

“Berdasarkan permohonan yang dikemukakan, kita menilai berdasarkan aktiviti-aktiviti koperasi serta projek yang hendak dijalankan,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas merasmikan Program Pasar Coop dekat Masjid Jamek Haji Abdul Rashid di sini pada 9 April 2021.

 

Hadir sama, Pengarah SKM Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria serta Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Mohd. Taupek Abd. Rahman.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata bahawa Kerajaan Negeri juga melancarkan Koperasi Ummah sebagai suntikan dalam bidang ekonomi.

“Dalam teras ekonomi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai visi untuk jadikan umat Islam sebagai penyumbang utama kepada kepada sektor ekonomi negeri.

Menyampakan geran bantuan kepada salah seorang wakil koperasi yang layak.

 

 

 

“Oleh itu, kita akan menjadikan koperasi dan usahawan sebagai teras ekonomi di samping pelbagai agensi Islam seperti wakaf, zakat dan sebagainya dalam memperkasakan umat di negeri ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zakaria memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang meluluskan peruntukan untuk membantu koperasi dalam bentuk kewangan.

“Saya rasa begitu terharu dan teruja atas komitmen Kerajaan Negeri untuk melihat gerakan koperasi di Pulau Pinang berjaya.

“(Dan) saya bagi pihak Suruhanjaya (SKM) dan mewakili anggota koperasi seramai 162,000 daripada 756 gerakan koperasi Pulau Pinang merakamkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain jualan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah, program tersebut juga diisi dengan pelbagai program seperti bantuan pendaftaran koperasi, persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC dan diakhiri dengan jelajah Khaira Ummah.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF