BATU MAUNG – Inisiatif Kerajaan Negeri bersama pihak swasta memastikan lebih 150 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung mendapat pakej data internet percuma selama tiga bulan bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mengulas lanjut, Exco Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa pihaknya harap inisiatif tersebut yang bermula pada bulan September hingga November akan memberi manfaat kepada pelajar terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan utama.
“Bermula September hingga November seperti kita ketahui sudah ada peperiksaan utama, jadi dengan data tanpa had ini diharap para pelajar dapat belajar tanpa sebarang gangguan.
“Kita berharap sumbangan data tanpa had berkelajuan tinggi oleh Foundpack Group Berhad ini mampu beri manfaat kepada pelajar-pelajar yang kini menjalani pembelajaran secara dalam talian,” ujar Abdul Halim dalam majlis penyerahan kad sim kepada ibu bapa dan pelajar dalam kelompok keluarga isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif Foundpack Group Berhad, Datuk Ong Choon Heng dan Pengarah 24 Express Sdn. Bhd. selaku pengedar sah Hotlink, Chuah Chun Lim.
Menurut Abdul Halim, usahasama Kerajaan Negeri bersama-sama swasta sebelum ini juga membawa pada sumbangan komputer riba bernilai RM2.2 juta khas untuk pembelajaran di rumah, melalui pihak sekolah.
“Ini antara usaha-usaha yang kita mampu, kita tidak mahu para pelajar ketinggalan dan asalkan mereka mahu belajar,” maklum Abdul Halim yang juga ADUN Batu Maung.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI