150 pelajar SJKT KADUN Jawi terima bantuan awal persekolahan

Admin

JAWI – Seramai 150 pelajar terpilih dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi menerima Bantuan Awal Persekolahan untuk sesi 2023/2024.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata saban tahun Syarikat NationGate Solution (M) Sdn. Bhd. (NationGate) menyediakan baucar tunai sebanyak RM50 kepada setiap penerima sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat.

 

“Tahun ini, NationGate bersetuju untuk menambah jumlah baucar tunai kepada RM80 untuk setiap penerima berikutan peningkatan harga bagi barangan dan keperluan persekolahan.

 

“Baucar tunai yang diterima ini boleh ditunaikan di Pasar Raya Yawata dekat Nibong Tebal bagi pembelian sama ada pakaian seragam atau peralatan persekolahan.

 

“Saya berharap usaha ini dapat meringankan beban ibu bapa dan berterima kasih kepada pihak NationGate serta pihak sekolah yang mendapatkan senarai nama pelajar yang layak (untuk menerima bantuan ini).

 

“Semoga dengan usaha ini juga, para penerima (pelajar) lebih bersemangat untuk ke sekolah dan seterusnya mencipta kejayaan sebagai pelapis pimpinan negara pada masa hadapan,” ujarnya pada majlis yang diadakan di SJKT Nibong Tebal dekat sini pada 18 Februari 2023.

FADHLINA Sidek (enam dari kiri) menyampaikan baucar bantuan persekolahan kepada salah seorang wakil sekolah pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir menyempurnakan majlis pemberian bantuan berkaitan.

 

Hadir sama, Naib Presiden NationGate, CK Tan; Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Dziauddin Mat Saad; barisan Lembaga Pengarah NationGate, guru besar dan guru SJKT berkaitan.

 

Difahamkan, sekolah yang terlibat adalah SJKT Nibong Tebal; SJKT Ladang Byram; SJKT Ladang Changkat; SJKT Ladang Kerian dan SJKT Ladang Jawi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN