SBPP peruntuk RM220,000 kepada 28 persatuan sukan berdasarkan pencapaian

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM220,000 kepada persatuan-persatuan sukan di negeri ini melalui Skim Bantuan Pengurusan dan Pentadbiran (SBPP) mengikut kriteria kecemerlangan yang ditetapkan.

 

 

Menurut Exco Beliau dan Sukan, Soon Lip Chee, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu cuma RM155,000.

 

 

“Dengan gred/kategori yang diperolehi oleh persatuan-persatuan sukan tahun ini, sejumlah RM220,000 diperuntukkan kepada 28 persatuan-persatuan terlibat.

 

 

“Sebanyak RM20,000 diberikan kepada kategori A, RM10,000 bagi kategori B dan kategori C, RM5,000.

 

 

“Saya dapati, daripada 28 persatuan ini, 15 persatuan telah meningkatkan prestasi masing-masing yang mana persatuan-persatuan sukan ini berjaya memperoleh gred/kategori yang lebih bagus pada tahun ini,” ujar beliau pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dekat sebuah hotel semalam.

 

 

Pada majlis tersebut, Persatuan Catur Pulau Pinang menjadi satu-satunya persatuan memperolehi gred A, 13 persatuan gred B, 14 persatuan gred C manakala 19 lagi gred D.

 

 

 

Lip Chee dalam pada itu mahu semua persatuan sukan yang bernaung di bawah MSNPP untuk terus giat mencari bakat-bakat baharu demi masa depan sukan negeri dan negara.

 

 

 

“Saya yakin di Pulau Pinang kita ada banyak bakat-bakat muda terutamanya di peringkat sekolah, jadi inilah tugas utama persatuan-persatuan sukan untuk bawa mereka ini ke tengah.

 

 

 

“Mungkin di kalangan sukan yang kita ceburi adalah kurang popular, namun sekiranya martabat sukan itu berjaya ditingkatkan melalui pencapaian, maka ia mampu menjadi sukan popular di Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD