1,542 ‘orang agama’ terima RM771,400 saguhati Zakat PP

ZAINULFAQAR YAACOB


SUNGAI DUA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang baru-baru ini mengagihkan saguhati berjumlah RM771,400 kepada 1,542 ‘orang agama’ daripada kalangan ahli-ahli jawatankuasa Kariah Masjid, guru-guru al-Quran serta guru-guru agama.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, inisiatif itu adalah sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam mendidik umat Islam di negeri berkenaan.

“Saya secara peribadi sangat menghargai jasa dan usaha tok-tok guru yang mengajar agama di masjid-masjid (serta) ahli jawatankuasa kariah yang berjaya mengimarahkan masjid sehingga menjadi pusat perkembangan umat berilmu.

“Saya amat berharap dengan pemberian saguhati ini, walaupun tidak seberapa, namun, ia memberikan motivasi kepada kita untuk terus berbakti kepada masyarakat Islam di kariah kita,” ujar beliau semasa berucap dan merasmikan majlis itu di Dewan Besar Sungai Dua, di sini baru-baru ini.

Ahli Pengarah Lembaga Zakat Pulau Pinang, Datuk Dr. Elias Zakaria dan Azman Abdul Samat (Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang) turut
hadir pada majlis tersebut.

Sebanyak RM310,600 diagihkan kepada 774 penerima membabitkan 198 jawatankuasa kariah masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid menerima saguhati sebanyak RM500, manakala, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari masing-masing menerima RM300, RM500 dan RM300.

Sebanyak RM343,800 diagihkan kepada 573 guru agama seluruh Pulau Pinang dengan setiap orang menerima RM600.

Baki RM117,000 lain diagihkan kepada 195 guru al-Quran peringkat daerah Butterworth dengan setiap orang turut menerima RM600.

Sementara itu, Majlis penyerahan zakat korporat kepada MAINPP melalui Zakat Pulau Pinang turut dilangsungkan pada majlis yang sama.

Maybank Islamic Berhad menyerahkan zakat korporat sebanyak RM250,000 mengikut ‘haul’ 2011.

Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Pengurus Cawangan Maybank Islamic Butterworth, Abdul Wahid Hassan dan Mohd. Azhar Jaafar (Pengurus Cawangan Maybank Sungai Dua).

Pengurus Malaysian Electronic Payment System Sdn. Bhd. Cawangan Pulau Pinang, Mohd. Redza Ahmad menyerahkan RM200,000 mengikut ‘haul’ 2012.

Pengurus Cawangan Public Islamic Bank Berhad Seberang Jaya, Sobri Mustapha menyerahkan RM16,000 mengikut ‘haul’ 2011.

Dalam perkembangan berkaitan, Elias semasa berucap mencadangkan, pihak berwajib wajar mempertimbang untuk menaikan jumlah elaun Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid serta Guru Agama dan Guru Al-Quran pada kadar yang lebih munasabah memandangkan kutipan zakat saban tahun kian meningkat belakangan ini.

MOHD. Salleh Man (berdiri, kanan sekali) sambil ditemani, Dr. Elias Zakaria (berdiri, dua dari kiri) menyampaikan sumbangan saguhati zakat kepada salah seorang penerima pada majlis penyampaian di sini baru-baru ini.
MOHD. Salleh Man (berdiri, kanan sekali)
sambil ditemani, Dr. Elias Zakaria (berdiri,
dua dari kiri) menyampaikan sumbangan
saguhati zakat kepada salah seorang
penerima pada majlis penyampaian di sini
baru-baru ini.