160 guru agama bakal terima RM500 elaun tambahan mulai 2025, umum TKM I

768e23e7 9323 4694 b61a f97952c41491 MOHAMAD Abdul Hamid

GEORGE TOWN – Mulai bulan Januari 2025, semua guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di Pulau Pinang akan menerima elaun tambahan bulanan sebanyak RM500.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.9284 juta kepada 160 guru tersebut.

“Bermula Januari tahun depan seramai 160 guru di SMAR, SABK dan SRAR di Pulau Pinang akan menerima tambahan elaun RM500 sebulan (yang mana) mereka sebelum ini menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing.

“Semoga dengan berita baik ini dapat menyuntik semangat para guru untuk memartabatkan Islam di Pulau Pinang melalui pendidikan anak-anak kita, pembangunan agama mesti seiring dengan kemajuan dunia,” katanya yang juga Yang Dipertua MAINPP kepada pemberita, seusai merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pada 19 November 2024.

Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Darus; dan Pengarah Komunikasi Strategik SID, Azmi Mohamad turut sertai sidang media tersebut.

Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, Kerajaan Negeri menerusi MAINPP akan terus berusaha memartabatkan agenda pembangunan agama Islam di negeri ini dari semasa ke semasa, selari dengan aspirasi rakyat yang berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR