Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Hampir RM1 juta wang zakat disumbangkan kepada 162 anak Pulau Pinang yang menuntut di beberapa Universiti sekitar Jordan, Mesir dan Indonesia.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, jumlah agihan sumbangan zakat kendalian Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) itu adalah berdasarkan kadar kos kehidupan di luar negara dan bidang pengajian yang diambil oleh mahasiswa berkenaan.
“RM5,000 diberikan kepada pelajar bidang agama di Mesir serta Jordan dan RM12,500 bagi bidang perubatan di negara yang sama.
“Manakala, RM4,000 diberikan kepada pelajar bidang agama di Indonesia dan RM6,000 kepada kepada pelajar bidang perubatan di negara yang sama,” ujarnya di Dewan Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.
Buletin Mutiara difahamkan, tajaan akan terus diberikan kepada mahasiswa yang layak sepanjang tempoh pengajian dengan syarat mereka mendapat kelulusan akademik saban semester.
Dalam pada itu, Mansor turut menyeru hadirin menyokong hasrat memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan merombak perbadanan itu menjadi skim biasiswa ke arah merealisasikan pendidikan percuma di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim turut berucap pada majlis itu.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Haji Ahmad dan Pengurus Besar PUZ Majlis Agama Islam Pulau Pulau Pinang (MAIPP), Dr. Azman Abdul Samat.
Kira-kira 300 hadirin, termasuk waris kepada mahasiswa berkenaan hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan IPT Luar Negara anjuran MAIPP.
Dalam perkembangan berkaitan, Mansor turut meraikan lebih 300 mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dekat Kuching baru-baru ini demi menghargai anak-anak Pulau Pinang cemerlang di perantauan.