GEORGE TOWN – Dalam membantu jualan produk usahawan di rumah (home based), Exco Agro Teknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin telah memohon pembinaan struktur tidak kekal yang dinamakan Food Agro City Walk di bawah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).
Menurut Norlela, setakat ini, 16 lokasi telah diangkat oleh FAMA dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang untuk dibina dan di siapkan pada tahun 2023.
“Usaha-usaha murni Kerajaan (Negeri) ini tidak boleh dicapai sepenuhnya tanpa kerjasama daripada semua pihak berkepentingan di sepanjang rantaian bekalan makanan.
“Semua pihak perlu menyumbang kepada proses ini dan juga mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan keselamatan makanan diutamakan.
“Sejajar dengan Sambutan Hari Keselamatan Sedunia yang disambut setiap tahun pada tanggal 7 Jun, diharap semua pihak membudayakan keselamatan makanan dalam amalan harian dan di setiap lapisan masyarakat,” ujar Norlela pada Majlis Anugerah Pertandingan Video Pendek Penyediaan Makanan Di Rumah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium A Komtar di sini hari ini.
Hadir sama, Pegarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Fazilah Shaik Allaudin; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Rafeah Sibil dan para peserta terlibat.
Sempena pertandingan tersebut, tiga peserta telah terpilih sebagai pemenang utama dan 10 lagi menerima hadiah saguhati.
Tempat pertama menjadi milik Lee Kok Bin, sementara tempat kedua berjaya diraih oleh Azhar Hassan dan ketiga, M. Thamaraicheivi.
Kok Bin membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 dan e-sijil, Azhar, (RM1,500 dan beserta sijil) dan Thamaracheivi (RM1,500 beserta sijil).
Menurut Azhar, produk Karipap Mak Tok diusahakan oleh anaknya secara sambilan dan hujung minggu sahaja.
“Sebelum ini pun memang saya pernah tekankan kepada dia (Nur Alyaa Azhar) aspek paling penting sekali untuk bagi orang makan perlu bersih.
“Kedua baru sedap, tetapi kalau sudah bersih, itu lebih sedap,” ujar Azhar ketika ditemui Buletin Mutiara sejurus menerima hadiah.
Sementara itu, Kok Bin ketika ditemui berkata, penghasilan pes bijan hitam yang dikeluarkan olehnya sememangnya mengikut garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan.
“Selain menjaga kualiti, kebersihan mengendaikan makanan ini memberi satu keyakinan kepada pelanggan.
“Kami bernasib baik kerana video-video ini memang sudah disimpan untuk tatapan pelanggan, apabila pertandingan ini dibuka, perlu sunting semula untuk dapakan hasil yang baik,” maklum Kok Bin lahi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING