17 peserta pertandingan arca jerami buru kejuaraan di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang

Admin

PENANTI – Seramai 17 peserta pertandingan membina arca jerami padi sempena penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang mempamerkan karya masing-masing bagi merebut gelaran juara.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangungan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata pertandingan tersebut adalah julung kali diadakan di Pulau Pinang dan mungkin yang pertama seumpamanya di negara ini.

Antara arca padi yang dihasilkan oleh para peserta pertandingan.

“Pada penganjuran sebelum ini, arca jerami padi hanya dibina oleh penduduk kampung tetapi kali ini kita adakan pertandingan membabitkan penyertaan dari pelbagai negeri seperti Selangor, Pahang, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang.

“Bagi tahun-tahun akan datang pula, kita mungkin akan bawa pertandingan ini pada peringkat antarabangsa dengan menjemput penyertaan dari luar negara seperti Jepun dan Taiwan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas menyempurnakan penjurian bagi pertandingan berkaitan dekat Kampung Terus, di sini semalam.

Norlela berkata, semua arca jerami yang dipamerkan akan dinilai oleh lapan orang juri berpengalaman dari pelbagai agensi dan pemarkahan diberikan berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

“Antaranya, 30 peratus adalah berkaitan kreativiti, kehalusan (20 peratus), penampilan (20 peratus) dan bonus (30 peratus).

“Hadiah yang ditawarkan adalah berjumlah RM30,000 bagi pemenang utama iaitu anugerah Ketua Menteri, anugerah khas Exco, anugerah kreatif dan anugerah khas tema,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua arca jerami akan dikekalkan di Kampung Terus selepas pesta padi berkenaan berakhir.

“Sepertimana tarikan di Kampung Agong di Kepala Batas, di sini juga dapat dijadikan kawasan pelancongan apabila adanya arca jerami padi ini.

“Ini dapat merancakkan lagi industri pelancongan Pulau Pinang sekali gus membantu menjana ekonomi rakyat khususnya orang-orang kampung,” katanya.

Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang berlangsung selama tiga hari mulai 22 hingga 24 Julai 2022 bertempat di Kampung Terus, Penanti.

Selain menyaksikan arca jerami padi, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang disediakan sepanjang tiga hari pesta berkenaan berlangsung termasuk pameran dan jualan,aktiviti dan pertandingan warisan padi, aktiviti riadah, larian Sungai Penanti, persembahan khas dan lain-lain.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD