MACHANG BUBUK – Janji kerajaan pusat sejak 17 tahun lepas untuk membina blok baru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kay Sin, di sini terus dimungkiri sehingga sekarang.
Malah, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng lagi, Kerajaan Negeri (yang lalu) turut memungkiri janji untuk memperbaiki dewan lama akibat dimakan anai-anai yang dihitung menelan belanja kira-kira RM200,000.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sungguhpun baru perintah negeri ini dalam empat tahun, RM50,000 telahpun disumbangkan pada sekolah itu.
“Bajet untuk pendidikan sekolah di bawah (bidang kuasa) pusat. Pulau Pinang boleh sumbang, mengapa pusat tidak menepati janjinya (sejak) tahun 1995 dulu,” soal beliau semasa berucap dalam Program Mesra Rakyat Pucuk Pimpinan di Dewan Orang Ramai Machang Bubuk di sini baru-baru ini.
Selain Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Datuk Tan Hock Leong turut berucap pada majlis keraian rakyat tersebut.
Hadir bersama pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Ir. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).
Menurut Chong Eng, layanan dingin daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini adalah ekoran tindakan semasa pembangkang Pulau Pinang (UMNO dan Barisan Nasional) yang giat menuduh Kerajaan Negeri tidak membelanjakan peruntukan pembangunan secara wajar demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri lebih cakna dalam berbelanja bajet pembangunan demi kepentingan rakyat, berbanding kerajaan pusat.