GEORGE TOWN – Seramai 172 pelajar dari tujuh buah sekolah rendah dan menengah terpilih menerima sumbangan cermin mata dari badan bukan kerajaan (NGO), Kiwanis Club of Penang Central (KCPC).
Presiden KCPC, Ir. Dr. Ngoo Seong Boon berkata, melalui program penjagaan penglihatan tersebut, pihaknya memfokuskan pemberian cermin mata baharu secara percuma kepada pelajar sekolah sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa daripada kumpulan B40.
KCPC tekad memastikan setiap kanak-kanak mempunyai alat bantu yang diperlukan bagi meningkatkan keupayaan pelajar dalam pembelajaran.
“Lagipun, KCPC cakna bahawa penglihatan yang jelas menjadi asas kejayaan baik dalam akademik mahupun penjagaan kendiri,” ujarnya dalam suatu kenyataan media semalam.
Mengulas lanjut, Seong Boon memberitahu bahawa misi KCPC adalah untuk memberdayakan komuniti melalui pelbagai program dan kerja amal.
“Inilah tekad KCPC yang mencerminkan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Seong Boon menyampaikan sumbangan cermin mata secara berfasa yang mana fasa pertama, semalam, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam (19 pelajar); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa (11); SJKC Chung Hwa 1 (13); SJKC Mak Mandin (27); SJKC Kwang Hwa Ski, Nibong Tebal (18); SJKC Jalan Baru Kwang Hwa (32) dan fasa kedua kepada 52 pelajar di SMK Batu Maung pada pagi ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen, mengalu-alukan inisiatif KCPC dan berharap agar program tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada program ini dan berharap dapat diteruskan setiap tahun kerana ramai pelajar daripada keluarga B40 yang masih memerlukan sokongan seperti ini,” katanya yang hadir menyempurnakan perasmian program tersebut di SJKC Mak Mandin di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Yeeh Keen memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Sekolah Cina telah meluluskan sejumlah RM50,000 bagi membiayai pembelian 24 komputer riba dan 10 komputer meja kepada SJKC Min Sin.
“Jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah RM61,399 yang mana baki kos pembelian akan ditanggung oleh lembaga pengarah sekolah berkenaan.
“Usaha ini adalah bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan menerima akses pendidikan digital,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : KCPC