GEORGE TOWN – Sehingga Julai 2011, sejumlah 508 buah gerai daripada 958 permohonan di seluruh negeri ini telah diluluskan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menghadiri sesi temuduga bagi kategori permohonan kompleks, pasar dan tapak penjaja sementara pada tahun ini.
Pada masa sama, sejumlah 17,301 buah gerai telah diluluskan permohonannya. Ini bermakna, sebanyak 17,809 gerai telah diluluskan sepanjang tempoh tiga tahun tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.
Menurut Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), L.Prem Anand, pada tempoh dua tahun, pemilihan dan proses temuduga dijalankan setiap bulan berbanding kerajaan terdahulu yang hanya menjalankan pemilihan setiap enam bulan ataupun setahun sekali.
“Proses temuduga dan pemilihan dijalankan berdasarkan prinsip Cekap, Akauantabel, Telus (CAT) iaitu cabutan undi dijalankan di hadapan khalayak ramai,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Tambah Prem, beberapa faktor diberikan penekanan semasa proses pemilihan dijalankan iaitu orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan bekas tentera diberikan keutamaan. Selain itu, orang awam dan pengganggur juga adalah layak untuk memohon.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan ruang kepada peniaga yang tidak mempunyai permit sah untuk memohon dengan cara yang betul dan diberikan penempatan semula,” jelasnya yang memegang Portfolio Kesihatan, Infra dan Lalulintas MPPP.