18 tahun, Pulau Pinang masih menunggu peruntukan RTB Lembangan Sungai Pinang – Exco

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, semua kawasan rendah sekitar lembangan Sungai Pinang akan terus terdedah pada risiko banjir, selagi Kerajaan Pusat terus menangguhkan pemberian peruntukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berwajib yang dianggarkan kira-kira RM654 juta

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir yang melanda Jalan P. Ramlee dan Jalan Makloom serta beberapa kawasan di sini pada hujung September lalu.

“Sudah 18 tahun kita menunggu, kawasan-kawasan dalam lembangan Sungai Pinang ini kalau melepasi curahan hujan yang (begitu banyak walaupun) dalam tempoh singkat, maka kawasan ini akan mengalami\  banjir.

“Oleh itu, kita menegaskan bahawa projek ini perlu dilaksanakan sebaik sahaja Fasa Satu RTB Sungai Pinang siap pada tahun 1998 (dan) 1999, tetapi tidak dijalankan,” katanya pada sidang media bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengemukakan permohonan peruntukan lebih 20 tahun lalu untuk menangani risiko banjir di negeri ini, dan peruntukan untuk Pulau Pinang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) dalam tempoh 1996 hingga 2000.

Dalam RMK-11 yang dibentangkan pada 23 Mei 2015, Kerajaan Pusat berjanji untuk memberikan peruntukan berwajib untuk lima projek RTB di negeri ini, keseluruhannya berjumlah RM997 juta.

Mengikut pecahan, kos solusi RTB Lembangan Sungai Pinang sahaja direkodkan bernilai RM654 juta, diikuti RTB Lembangan Sungai Perai (RM70 juta), RTB Lembangan Sungai Juru (RM80 juta), RTB Lembangan Sungai Jawi (RM40 juta) dan RTB Bayan Lepas (RM153 juta).

Kon Yeow pada 8 November 2016 menggesa Kerajaan Pusat meluluskan RM350 juta untuk projek RTB Lembangan Sungai Pinang yang dianggap ‘ibu penyelesaian utama’ bencana banjir kilat di bahagian pulau, ketika negeri ini dilanda banjir pada hujung tahun lepas.

“Memandangkan peruntukan RM150 juta telahpun (Pusat) turunkan, maka JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) perlulah mengkaji semula skop (projek RTB Lembangan Sungai Pinang) ini berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat,” jelasnya.

Sungai Pinang bermula dari Dobi Ghaut hingga muara Sungai Pinang.

Manakala, lembangan Sungai Pinang terdiri daripada enam anak Sungai dari Bukit Bendera dan Air Itam mengalir ke Sungai Pinang.