BAGAN DALAM – Pameran 18 topiari hijau yang mendapat sambut hangat di Padang Kota Lama pada beberapa minggu lalu kini dipamerkan semula di Dataran Pemuda Merdeka, Butterworth sehingga 21 April ini.
Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berharap pameran ‘Animal Kingdom in the City’ sempena Minggu Kesenian Pulau Pinang dapat menambahkan elemen tarikan pelancong ke negeri ini terutama di Seberang Perai.
“Kerajaan Negeri memang mengamalkan dasar inklusif, kita senantiasa tidak lupa Seberang Perai, apabila melaksanakan sesuatu program pelancongan di (bahagian) pulau.
“Apa yang dilaksanakan ini, seiringan dengan Penang2030 yang disarankan oleh Ketua Menteri,” jelasnya dalam majlis perasmian yang dilangsungkan di Kompleks Dato’ Haji Ahmad Badawi dekat sini pada 9 April 2019.
Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud merakamkan penghargaan kepada Soon Hin kerana membawa pameran itu ke Seberang Perai.
Beliau dalam pada itu berharap replika gajah, tapir serta beberapa lagi habitat yang kian pupus yanh dipamerkan di sini akan menggamit kesedaran rakyat untuk menghargai alam semula jadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD