Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini melancarkan Projek Menghijaukan Bandar di Jalan Datok Keramat, di sini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 180 pokok teduhan jenis Nees (Neolitsea Zeylanica Mer), Star Apple (Chrysophyllum Cainito), Salam (Syzygium Polyanthum) dan Penaga Lilin (Messua Ferrea) akan ditanam di sepanjang 1.4 kilometer jalan tersebut.
Itu, tidak termasuk kira-kira 10,000 pokok renek (Acalypha Siamensis) yang ditanam di antara jalan dua hala berkenaan.
“Kos penanaman pokok kira-kira RM163,675.28 (manakala) kerja-kerja kejuruteraan (menelan) kos RM160,560.00.
“Kita percaya ini suatu usaha untuk generasi akan dating sepertimana generasi kita di sini mendapat teduhan pokokpokok yang ditanam oleh generasi lepas,” ujar beliau di Jalan Datok Keramat, di sini.
Dua Ahli Majlis MPPP, Teh Lai Heng dan Ong Ah Teong serta Mohamed Akbar Mustafa (Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP) turut serta dalam majlis tersebut.
Kon Yeow berkata, rancangan menghijaukan Jalan Datok Keramat itu disasarkan siap pada Disember depan.
Sebelum itu, Kon Yeow, Lai Heng, Ah Teong dan Mohamed Akbar masing-masing menyempurnakan gimik kempen menghijaukan jalan tersebut dengan menanam serta menyiram pokok Penaga Lilin.
Tahun lepas, MPPP melancarkan projek menghijaukan jalan di Lebuh Carnarvon dan sebahagian jalan di Pengkalan Weld. Inisiatif menghijaukan bandar itu adalah demi merealisasikan kempen “Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat” yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.