19 aktiviti ekonomi Fasa 2 PPN dibenar beroperasi

PULAU TIKUS – Sebanyak 19 aktiviti ekonomi dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan beroperasi di negeri ini tanpa perlu menunggu status vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai tahap 50 peratus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaru yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pulau Pinang kini berada dalam fasa kedua PPN, jadi apa sahaja aktiviti ekonomi yang dibenarkan bagi negeri Fasa 1 turut dibenarkan beroperasi di negeri-negeri Fasa 2.

“Kita tertakluk kepada SOP terkini yang mana keperluan mencapai 50 peratus kadar vaksinasi dos kedua atau lengkap sudah tidak diperlukan.

“Justeru, mulai 16 Ogos 2021, 19 sektor ekonomi yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat akan dibenarkan untuk meneruskan operasi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) RIVAC dekat Gurney Paragon Mall di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri semasa mengadakan lawatan ke PPV RIVAC sekat Gurney Paragon Mall pagi tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar serta Pengasas Kumpulan Hunza Properties, Datuk Seri Khor Teng Tong.

Tambah Kon Yeow, penjelasan lanjut mengenai SOP bagi kegiatan ekonomi berkaitan akan diumumkan oleh Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Kedua-dua Datuk Bandar bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dimaklumkan dan tindakan serta pengumuman lanjut akan dibuat oleh pihak-pihak berkaitan.

“Walau bagaimanapun, pematuhan SOP yang digariskan oleh MKN dan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) masih ditekankan bagi memastikan rantaian perebakan COVID-19 dapat diputuskan,” tegasnya.

Difahamkan, 19 kegiatan ekonomi yang dibenakan peroperasi dalam Fasa 2 PPN termasuklah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai; kedai bunga dan nurseri; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai alat permainan serta kedai permaidani.

Selain itu, kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain); kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik); kedai barangan rumah dan peralatan dapur.

Kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta kedai barang kemas juga turut dibenarkan beroperasi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD