19 November 2022, rakyat akan tentukan nasib masa depan Malaysia – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (tengah) yang juga calon PH bagi P046 Batu Kawan merakamkan gambar dengan para penyokongnya selepas ceramah umum di tapak pasar malam Juru di sini pada 17 November 2022.

BUKIT TENGAH – Semua pengundi berdaftar yang akan membuang undi pada Sabtu ini (19 November 2022) akan menentukan nasib masa depan negara termasuk di kawasan Parlimen Batu Kawan bagi tempoh lima tahun akan datang sama ada menuju ke tahap yang lebih cerah atau sebaliknya.

KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen P046 Batu kawan berkata bahawa pihaknya percaya masa depan Malaysia lebih cerah sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang lebih berintegriti.

“Kita mahu tuntut balik (mandat rakyat bagi mewujudkan masa depan) Malaysia yang cerah; kita mahu ambil balik (Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan) Malaysia yang ‘ada harapan’.

“Untuk mewujudkan Malaysia yang cerah dan ada harapan, kita (pengundi berdaftar) tidak boleh menyokong Umno, Barisan Nasional dan Perikatan (Nasional) untuk kekal mengambil alih (Kerajaan Persekutuan) Malaysia.

“Untuk mengambil alih kembali Malaysia, satu-satu pilihan yang ada adalah dengan menyokong (calon-calon) Pakatan Harapan.

“Sehubungan itu, tuan-tuan dan puan-puan pada 19 November (2022) akan menentukan masa depan Malaysia,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dalam ceramah mega yang dilangsungkan di tapak pasar malam Juru di sini pada 17 November 2022.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga calon PH bagi kawasan Parlimen Balik Pulau; Lim Guan Eng (calon PH bagi Bagan merangkap Pengerusi DAP Kebangsaan) antara pemimpin utama yang berucap di depan ribuan penyokong di sini.