Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Syarikat Zubicon Sdn. Bhd. (Zubicon) dipilih untuk memajukan 1,900 unit rumah mampu milik dekat Jalan S.P. Chelliah yang akan dikenali sebagai Chelliah Park City di sini melalui request of proposal (RFP) dijalankan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemaju itu dipilih kerana menawarkan jaminan sumbangan kewangan (GMC) tertinggi, iaitu RM60 juta, selain, menambah 580 unit lagi rumah kos sederhana rendah yang berharga RM200,000 seunit.
“Kerajaan Negeri menyedari bahawa keperluan perumahan berharga RM200,000 adalah tinggi, maka, penambahan sebanyak 580 unit dalam kelas ini ke dalam projek ini adalah sesuatu yang akan memberi faedah kepada rakyat kelak.
“Dengan pertambahan itu, (bermakna) peningkatan 91.4 peratus (rumah kos sederhana rendah) daripada jumlah asal 303 unit yang disyaratkan,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar turut hadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu berkata, dalam syarat terbaru yang dipersetujui pemaju, sebanyak 770 unit rumah kos rendah dengan keluasan lantai 700 kaki persegi akan dibina dan dijual dengan berharga RM72,500 seunit.
“883 unit rumah kos sederhana rendah dengan keluasan lantai 800 kaki persegi akan dibina dan dijual dengan harga tidak melebihi RM200,000 seunit.
“165 unit lain dalam kelas yang sama dengan keluasan lantai 900 kaki persegi akan dibina dan dijual dengan harga RM300,000 seunit.
“Manakala, 82 unit lagi dalam kelas yang sama dengan keluasan lantai 1,000 kaki persegi akan dijual di bawah harga RM400,000,’’ jelas beliau.
Tambah Guan Eng, hanya empat peratus sahaja dijual dengan harga RM400,000, bukan kesemua rumah mampu milik dijual semahal itu sebagaimana yang digambarkan oleh pembangkang Pulau Pinang sebelum ini.
Justeru, katanya lagi, kos keseluruhan projek tersebut berjumlah RM85 juta, iaitu GMC berjumlah RM60 juta dan RM25 juta baki adalah tambahan tawaran bagi kemudahan awam.
Dalam cadangan Zubicon, difahamkan, Chelliah Park City akan dilengkapkan dengan ‘linear park’, kawasan hijau, terminal bas awam, laluan basikal dan pejalan kaki serta rekaan bentuk fizikal kediaman memenuhi spesifikasi Green Building Index (GBI) berkelas ‘Gold’ seperti penyediaan pusat kitar semula.
Itu, tidak termasuk bangunan tunggal yang akan dijadikan surau untuk umat Islam setempat.
Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjual 1.2 ekar tanah dekat Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini kepada pihak swasta untuk pembinaan bangunan 30 tingkat yang terdiri daripada 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat parkir.
Projek komersial itu menerima tentangan kuat daripada pembangkang Pulau Pinang atas dalih Kerajaan Negeri wajar membina rumah mampu milik terlebih dahulu untuk keperluan rakyat di negeri berkenaan.
Oleh kerana tanah tersebut tidak muat untuk pemajuan perumahan mampu milik, Kerajaan Negeri mencadangkan sebidang tanah lain berdekatan Taman Manggis, iaitu di Jalan S.P. Chelliah.
Pada 17 Januari lepas, Kerajaan Negeri melalui PDC mengiklan RFP bagi projek tersebut.
Dalam RFP itu, antara lain mensyaratkan pembinaan 1,320 unit rumah mampu milik sahaja, termasuk 303 rumah kos sederhana rendah dengan keluasan lantai 800 kaki persegi dan dijual dengan harga RM200,000 seunit.
Sebanyak lapan syarikat pemaju mengambil bahagian sebelum Zubicon dipilih melalui proses tender terbuka berkenaan.