Nama ulama sohor S.A Abdullah Bukhari diabadi sebagai nama jalan

Admin
926f8660 98b6 47a4 a458 cab13c7a57d9

AIR ITAM – Jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor (Lelaki) kini dinamakan sebagai Jalan S.A Abdullah Bukhari.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata jalan tersebut dinamakan sempena nama ulama tersohor, Allahyarham Dato’ S.A. Abdullah Bukhari kerana jasanya di sekolah tersebut.

“Pengabadian nama ulama terkenal S. A. Abdullah Bukhari sebagai nama jalan ini sebagai menghargai sumbangan beliau semasa hidup kepada masyarakat, komuniti setempat di Pulau Pinang dan SMKA Al-Mashoor (Lelaki) itu sendiri.

“Pertukaran nama sebahagian Jalan Ayer Itam kepada Jalan S. A. Abdullah Bukhari juga adalah berdasarkan sumbangan tokoh besar ini terhadap perkembangan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

“Jalan yang dicadangkan merupakan jalan sedia ada sepanjang 400 meter di antara Jalan Scotland dengan Jalan Ayer Itam utama berhampiran SMKA Al-Mashoor (Lelaki).

“Penukaran nama jalan ini telah memenuhi syarat-syarat daripada Garis Panduan Penentuan Nama Geografi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi Tahun 2019,” katanya pada pada dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Seng; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Dato’ Seri Dr. Mohd Yussof Latiff dan Presiden Majlis Dato’ Dato’ Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Abdul Rafique Karim.

Turut bersama, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Said Hussain; Pengetua SMKA Al-Mashoor (Lelaki), Suhaimi Othman serta dua waris S.A Abdullah Bukhari, Ahmad Jamil S. A  Abdullah Bukhari dan Jaafar  S. A  Abdullah Bukhari.

 

a838d99f ee22 4fd9 b828 f0d7394d11c2

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa sumbangan dan sejarah Almarhum terhadap pengembangan syiar Islam berdasarkan sumber daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Kariah Masjid Kapitan Keling.

“Sepanjang hayatnya, beliau pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadis di Madrasah Al-Mashoor, Pulau Pinang pada tahun 1958 sehingga tahun 1979.

“Beliau menjadi Imam di Masjid Kapitan Keling pada tahun 1972 sehingga tahun 2011 serta sangat aktif dalam menyampaikan dakwah sebagai Guru Takmir bermula pada tahun 1985 sehingga tahun 2019, termasuk menjadi Guru Takmir Daerah Timur Laut pada tahun 1990 sehingga tahun 2000.

“Selain banyak ketokohan dalam bidang agama, beliau juga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1960, dianugerahkan pingat P.K.T. pada tahun 1991, D.J.N. pada tahun 2003 dan D.S.P.N. yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2007,” maklum Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Pada sidang media sama, Zairil turut mengumumkan penukaran nama bagi sebahagian Jalan Tengah (simpang pekan Sungai Ara) kepada Solok Dato’ Ismail Hashim, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD