Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Dengan suntikan pelaburan sebanyak RM300 juta, Kompleks membeli-belah 1st Avenue yang terletak dalam kawasan UNESCO World Heritage bakal menobatkannya sebagai salah satu pusat pelancongan membeli-belah utama negeri ini.
Pembinaan projek menerusi kerjasama antara Asian Retail Mall II Limited (ARML II), the Lion Group dan Belleview Group itu lazimnya telah beroperasi sepenuhnya pada 25 November 2010. Struktur bangunan sembilan tingkat berkonsepkan pusat fesyen berkaca dan berprestij tersebut turut menempatkan 272 butik dan tiga pasar raya besar seperti TGV Cinemas, Carrefour dan Parkson.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa majlis pelancaran pusat membeli-belah berkenaan berkata, dengan adanya kepelbagaian produk dan jenama di bawah satu bumbung, ia akan menjadikan 1st Avenue satu daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan juga luar datang.
“ Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan kawasan persekitaran Komtar sebagai sebuah lokasi yang menjadi pusat tumpuan utama dengan daya tarikan dinamik, projek Business Improvement District Scheme (BIDS) yang pertama seumpamanya di Asia akan turut dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri sedang berusaha dan mencari inisiatif untuk menghubungkan entiti komersial di sepanjang Jalan Macalister , Lebuh Campbell dan Lebuh Kimberly dengan Komtar. Diharap proses ini akan mentransformasikan George Town khususnya dan Pulau Pinang amnya menjadi sebuah bandar pintar bertaraf antarabangsa untuk dikunjungi kelak,” ujarnya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pengarah Eksekutif Pramerica Real Estate Investors (Asia) Pte. Ltd, Victoria Shigehira dan Pengarah Eksekutif Lion Group, Lionel Cheng.