2.8 hektar ganti tanah kecil Jln. Zainal Abidin

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNExco Perancangan Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian menafikan dakwaan Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berhubung kenyataannya yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menjual sebidang tanah berkeluasan 0.45 hektar di Lorong Selamat, Jalan Zainal Abidin dan sekaligus ‘mengorbankan’ Projek Perumahan Rakyat (PPR) dirancang sebelum ini di sini.

WONG Hon Wai menunjukkan beberapa dokumen bagi menjelaaskan isu tanah Lorong Selamat, Jalan Zainal Abidin pada sidang media di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai menunjukkan
beberapa dokumen bagi
menjelaaskan isu tanah Lorong
Selamat, Jalan Zainal Abidin pada
sidang media di sini baru-baru ini.

Exco terbabit, Wong Hon Wai menjelaskan, tanah yang dikatakan telah diluluskan untuk PPR sebenarnya tidak ada dalam pelan asal dikemukakan Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Semakan telah dibuat dengan pihak MPPP berkaitan tanah di lot 305, lot 306, lot 313 dan lot 314, Lorong Selamat, Jalan Zainal Abidin dan mendapati tidak ada pelan baru yang dikemukakan setelah pelan tersebut diluluskan pada 10 Mei 2001 untuk PPR.

“Ekoran kelulusan tersebut, hakikatnya, tidak banyak dapat dilakukan di tapak tersebut kerana saiz tanah yang kecil dan untuk membangunkan perumahan, tanah lebih besar adalah diperlukan,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Lantaran itu, bagi membolehkan projek tersebut dibangunkan, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebidang tanah berkeluasan 2.8 hektar di Jalan S.P. Chelliah di sini untuk dua projek perumahan mampu milik.

“Dari segi teknikal dan penelitian yang dijalankan, tanah di Lorong Selamat adalah terlalu kecil dan tidak sesuai dibangunkan sebagai penempatan.

“Lanjutan itu, Kerajaan Negeri telah menerima pelbagai cadangan bagi membangunkan kawasan (tanah di Lorong Selamat) tersebut termasuk sebagai asrama bagi penjawat awam dan pusat perubatan. Melalui penelitian Kerajaan Negeri, pusat perubatan adalah lebih sesuai dibangunkan berbanding rumah pangsa,’’ jelas beliau.

Jelas Hon Wai, tanah tersebut (Lorong Selamat) telahpun dijual secara tender terbuka pada 2010.

“Kerajaan Negeri telah kemukakan pengumuman tender terbuka pada Julai 2009, justeru, tidak timbul isu yang menyatakan tanah tersebut dijual pada kadar potongan harga,’’ tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Hon Wai turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik antaranya di Teluk Kumbar dengan keluasan tanah 2.4 hektar, Bukit Mertajam (4.8 hektar), Kampung Jawa, Butterworth (4.0 hektar), Ampang Jajar (7.6 hektar) dan Juru (8.0 hektar).