20 jalan sehala demi urai sesak trafik

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN -Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengubah sistem 20 jalan utama sekitar George Town pada laluan sehala demi mengurai kesesakan trafik terutama pada waktu puncak di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, ujian pelaksanaan selama tiga bulan bermula pada 27 Julai lepas itu membabitkan Jalan Burmah, Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Jalan Bagan Jermal dan Persiaran Gurney kerana jalan-jalan radial utama itu antara yang dikenal pasti menghubungkan kawasan George Town ke pusat bandar.

“Jalan-jalan terlibat tidak mempunyai ruang untuk dilebarkan lagi. Jalan-jalan baru sebagai jalan pintas (by-pass) telah dicadangkan melalui kawasan ini.

“Bagaimanapun, sementara jalan-jalan ini dikaji dengan lebih lanjut, tindakan-tindakan interim perlu diambil untuk menambah baik aliran lalulintas sedia ada,” ujarnya ketika di Komtar di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPPP, Ir. Ang Aing Thye, Cheah Kah Peng (ADUN) Yap Soo Huey (ADUN Pulau Tikus), Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan MPPP) dan Ir. A. Rajendran (Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP) turut hadir pada sidang media itu.

Untuk tujuan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memasang papan-papan tanda lalulintas, arah laluan dan amaran sebagai panduan kepada orang ramai.

“Khidmat pihak polis dan penguatkuasa MPPP turut digunakan untuk memantau keadaan traffik pada waktu-waktu puncak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, penyusunan semula laluan-laluan sehala itu turut membabitkan arah laluan bas awam Rapid Penang, iaitu laluan 101, 102, 103, 104, 10 dan 304.

Bercakap pada sidang media yang sama, Pegawai Sokongan Strategik Rapid Penang, Osman Amir berkata, perubahan arah laluan bas kebanyakannya adalah sama, kecuali laluan 103 kerana laluan yang baru tidak akan melalui Teluk Bahang dan juga Jeti.

Sementara itu, katanya lagi, perubahan di laluan 104 yang sebelumnya membabitkan Jalan Burmah akan ditambahbaik bagi membolehkan bas melalui kawasan Mount Erskine.

“Kita (Rapid Penang) akan memaparkan peta laluan baru di laman sesawang Rapid Penang, Facebook dan juga Twitter bagi memudahkan para pengguna bas mengakses laluan bas yang baru.

“Selain itu, peta dan risalah turut akan dilekatkan dan diedarkan di stesen-stesen bas sebagai notis kepada pengguna.

“Beberapa buah stesen bas baru akan diwujudkan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti,” ujarnya.

Orang ramai boleh memberikan maklum balasatau komen dan cadangan secara bertulis kepada Pengarah Kejuruteraan MPPP, Tingkat 13, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), 10675, Pulau Pinang ataupun menghubungi talian 04- 2592205/04-2592202 atau melalui emel kepada [email protected].