20 pelajar B40 terima biasiswa UNITAR

Admin
fb757603 f202 492f 9d59 456a7ac40105

GEORGE TOWN – Seramai 20 pelajar golongan B40 Universtiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) menerima biasiswa kumpulan pendidikan institusi berkaitan sebentar tadi yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa aspek pendidikan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu sentiasa menjadi keutamaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri kini.

“Malah, selaras dengan inspirasi Kerajaan Persekutuan, pentadbiran kita sentiasa dan terus berazam untuk menyediakan peruntukan bantuan kewangan bagi memberikan sokongan kepada anak-anak pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ingatlah, pendidikan adalah kunci untuk membuka potensi sepenuhnya, jadi saya mohon kepada anak-anak sekalian supaya memanfaatkan peluang ini dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam segala yang anda lakukan,” ujarnya pada Majlis Penganugerahan Biasiswa UNITAR Kepada Pelajar-pelajar Golongan B40 Di Bawah Inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

 

afa31300 bcf8 4b23 bea0 5a6cca1a6713

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Seri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Universiti Antarabangsa UNITAR, B. Puvan.

Kon Yeow dalam pada itu mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak UNITAR kerana menyediakan peruntukan biasiswa penuh keseluruhan berjumlah RM1 juta untuk barisan pelajar berkaitan yang merupakan anak-anak Pulau Pinang.

“Saya difahamkan bahawa pemberian biasiswa pada hari ini adalah kepada para pelajar kemasukan Mei lalu dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal memulakan pengajian pada September ini.

“Usaha ini sekaligus membuktikan bahawa UNITAR merupakan sebuah institusi yang menyahut cabaran kerajaan dengan mengambil langkah monumental ke arah membentuk generasi pemimpin yang berilmu dan berkualiti.

“Saya yakin bahawa biasiswa ini bukan sahaja menjadi bentuk bantuan kewangan, namun ia juga akan menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik dan batu loncatan bagi merealisasikan impian anak-anak semua,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa para pelajar era baharu adalah semakin bijak dalam menguasai serta memanfaatkan kecanggihan teknologi digital terkini.

“Adalah penting untuk kita menyokong dan memupuk kefasihan digital kerana ia adalah kunci untuk mempersiapkan bakal pemimpin masa depan kita dalam menghadapi cabaran pendigitalan masa hadapan selaras dengan Visi Penang 2030 iaitu untuk melahirkan sebuah negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sementara itu, Sahol Hamid berharap bahawa biasiswa tersebut bakal menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk mengubah nasid diri dan keluarga mereka ke arah yang lebih baik dan cemerlang menerusi pendidikan.

“Ini merupakan kali kedua pemberian seumpama ini, dan kami di UNITAR nekad untuk menjadi sebuah universiti swasta tersohor dalam industri pendidikan dan seterusnya melahirkan generasi berilmu serta cemerlang,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS