GEORGE TOWN – Bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang bermula dari Silicon Island ke Komtar dan berakhir di Penang Sentral dekat Butterworth, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) akan membina 20 stesen di bahagian Pulau dan hanya satu stesen di bahagian Seberang Perai.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee dalam Sesi Soal Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 25 November 2024.
“Kesemua stesen yang dirancang adalah secara berperingkat.
“Justeru, jajaran muktamad bagi projek LRT (Laluan Mutiara) tersebut yang dicadangkan adalah bermula dari Silicon Island dan menuju ke arah utara dengan melalui beberapa stesen di Permatang Damar Laut, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (dekat Bayan Lepas), Sungai Pinang, FIZ South, FIZ Jalan Tengah, SPICE, Bukit Jambul, Sungai Dua, Sungai Tiram, Jalan Universiti (Universiti Sains Malaysia, USM), Gelugor, Penang Water Front, East Jelutong, Sungai Pinang, Bandar Sungai Pinang, Macallum, Komtar dan seterusnya jajaran akan bersambung ke Penang Sentral (dekat Butterworth).
“Namun begitu, perincian lokasi masih pada peringkat untuk memuktamadkan oleh MRT Corp.,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.
Selain itu, Zairil menjelaskan bahawa setakat ini MRT Corp. merancang untuk membina sembilan parkir bertingkat bagi kemudahan ‘park and ride’, dengan anggaran keseluruhan jumlah parkir adalah 1,100 petak.
Lee Lee dalam sesi soalan tambahan selepas itu meminta Zairil menjelaskan langkah alternatif yang akan diambil bagi mengurangkan risiko kesesakan trafik di sepanjang jajaran projek pembinaan LRT – Laluan Mutiara tersebut, kelak.
Menurut Zairil, dari segi pembinaan LRT, sudah tentu ia akan memberi kesan pada perjalanan trafik.
“Akan ada pelan pengurusan trafik yang akan disediakan dan diluluskan oleh pihak berkuasa jalan,” katanya lagi.
Selain itu, Zairil memberitahu bahawa rakyat sewajarnya digalakkan untuk menggunakan bas pengantara dan bukan hanya bergantung pada kemudahan ‘park and ride’ yang terhad, untuk menggunakan LRT – Laluan Mutiara kelak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD