Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid bahawa Kerajaan Negeri gagal mengawal operasi rumah urut sehingga lebih 200 ‘hotspot’ didedah menawarkan khidmat seks di Pulau Pinang adalah palsu belaka.
Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng baru-baru ini menegaskan, pentadbirannya sejak tahun 2008 berjaya mengurangkan bilangan rumah urut berlesen sehingga tinggal 64 sahaja, berbanding 290 dikenal pasti beroperasi pada era UMNO Barisan Nasional (BN) menguasai Kerajaan Negeri dulu.
“Dari segi bilangan lesen yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah jauh lebih rendah kalau dibandingkan dengan (bilangan lesen yang diluluskan) Barisan Nasional,” celah Guan Eng pada sesi perbahasan Jahara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.
Menurut Guan Eng, Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi semasa dihubungi baru-baru ini pun mengaku bahawa polis sendiri tiada maklumat berwajib berhubung pendedahan badan penyelidik Northern Network for Migration & Refugees (JUMP) di akhbar Bahasa Inggeris, The Star bertarikh 6 April lalu.
“Polis pun tiada maklumat mengenai (kajian JUMP) ini dan dia (Abdul Rahim) sendiri berasa ini berita (The Star) palsu,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.
Justeru, Guan Eng menasihatkan Jahara yang juga ADUN Teluk Air Tawar supaya menghubungi Abdul Rahim sendiri bagi mendapatkan maklumat sahih berhubung laporan JUMP yang didakwa palsu itu.
Terdahulu, penyelidik JUMP, Todd Morrison mendedahkan, lebih 200 ‘hotspot seks’ tersebut dikenal pasti berdasarkan maklum balas 172 pemandu teksi di negeri ini.