200 keluarga terima sumbangan ‘Bakul Kasih Madani’ sempena Tahun Ular

Admin
img 20250126 wa0013

KEBUN BUNGA – Seramai 200 keluarga terpilih dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga hari ini menerima sumbangan ‘Bakul Kasih Madani’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

 

 

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, program anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dan disokong oleh Pejabat KADUN Kebun Bunga serta Komuniti Madani Padang Tembak ini diadakan dalam dua sesi bagi memastikan kelancaran dan keselesaan penerima.

 

 

“Seramai 100 keluarga menerima bantuan pada sebelah pagi, manakala 100 keluarga lagi menerima sumbangan pada sesi petang.

 

 

Melalui inisiatif ‘Bakul Kasih Madani’ ini, kita memastikan bahawa setiap anggota masyarakat, tanpa mengira latar belakang, merasa diraikan dan disokong sempena Tahun Baharu Cina.

 

 

“Program ini juga mencerminkan nilai-nilai kebersamaan dan empati yang kita junjung sebagai sebuah masyarakat yang inklusif.

 

 

“Semoga kedatangan Tahun Ular membawa kemakmuran, kebahagiaan, dan keharmonian kepada semua, Gong Xi Fa Cai,” ujarnya pada majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak pada 26 Januari 2025.

 

img 20250126 wa0009
SYERLEENA Abdul Rashid turut meluangkan masa menyantuni para penerima di sini.

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ooi Mei Mei dan Penghulu (Pembangunan Daerah) Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, Nur Afnan Zakaria.

 

 

Buletin Mutiara difahamkan bahawa setiap keluarga menerima ‘Bakul Kasih Madani’ yang mengandungi barangan keperluan asas serta juadah perayaan bagi membantu para penerima menyambut Tahun Baharu Cina dengan lebih ceria dan bermakna.

 

img 20250126 wa0011
PROGRAM yang diadakan ini secara tidak langsung membuka ruang dan peluang berinteraksi dengan masyarakat setempat.

 

Terdahulu dalam ucapannya, Syerleena menekankan bahawa program tersebut telah membuka ruang interaksi kepada beliau secara langsung dengan masyarakat setempat.

 

 

“(Melalui program ini), saya dapat mendengar keperluan mereka dan pada masa sama mengukuhkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk sukarelawan dan rakan media, atas sokongan padu dalam memastikan kelancaran program tersebut.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : PEJABAT MP BUKIT BENDERA