20,000 banjiri Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang

Admin
ACARA persembahan antara yang menarik sempena Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan pada 31 Ogos 2023.

BUKIT TAMBUN – Seramai 20,000 rakyat berbilang kaum membanjiri perkarangan hadapan Stadium Negeri Pulau Pinang bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi ini.

Tepat 8.30 pagi, ketibaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang dan isteri serta Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri.

KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama TYT dan barisan pemimpin utama Kerajaan Negeri lain di pentas perdana menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada pagi tadi.

Turut mengiringi ke khemah utama, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan isteri; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan isteri, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan isteri serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang lain.

Hadir sama, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta tetamu kenamaan lain.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak membuat pemeriksaan perbarisan di perkarangan hadapan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini tadi.

Acara dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja oleh TYT, disusuli istiadat perarakan masuk bendera serta menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan iringan lagu Negaraku dan nyanyian lagu Untuk Negeri Kita.

Sebagaimana kebiasaan, acara perbarisan dan perarakan turut diserikan dengan persembahan koir lagu patriotik oleh Kumpulan Seni Persembahan Santun Semilang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Jaya; gabungan elemen muzik tradisional tiga kaum majoriti dalam negara; Boria Jalur Gemilang serta Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja serta aset kenderaan iaitu Perisai GEMPITA 8×8.

Kelainan pada tahun ini, antaranya adalah terdapat persembahan khas demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) dari Anggota Divisyen Ke-2 Infantri Malaysia yang terdiri daripada 116 anggota lain-lain pangkat dan merupakan gabungan elemen Tae-Kwan-Do dan juga Gempur Wira.

PERARAKAN Jalur Gemilang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Serentak pada majlis sama, turut diwujudkan khemah pameran yang terdiri daripada 17 Agensi Keselamatan untuk menarik perhatian semua lapisan masyarakat.

Difahamkan, bersempena sambutan tahun ini, sebanyak 92 penyertaan kontinjen kawad kaki dari pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun negeri dan persekutuan, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian menjadikan jumlah penyertaan keseluruhannya seramai 5,529 peserta.

Itu, tidak termasuk penyertaan kontinjen kenderaan sebanyak 25 penyertaan yang melibatkan 948 orang dengan 720 kenderaan.

Mengambil kira 2,500 orang ahli jawatankuasa penganjuran di bawah Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri iaitu Choo Kiang, jumlah penyertaan keseluruhan kontinjen serta urusetia adalah seramai 8,977 orang.

Kata pengemudi acara, semoga dengan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ yang menjadi tema keraian Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri dan Persekutuan tahun ini bakal menyemarak aspirasi tekad serta komitmen pemimpin bersama-sama rakyat ke arah memperkukuh elemen pembentukan sebagai sebuah negara bangsa moden yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI