BATU MAUNG – Kira-kira 20,000 murid terpilih di sekitar negeri Pulau Pinang akan menerima pakaian sekolah baharu dengan melibatkan dana zakat sebanyak RM3 juta.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian semasa melancarkan Skim Agihan Pakaian Seragam ‘Kembali Ke Sekolah’ di Sunshine Square Bayan Baru di sini pada 3 Mac 2024.
Menurut Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat tersebut, skim tersebut merupakan antara usaha MAINPP menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi meningkatkan kualiti hidup golongan asnaf di negeri ini.
“Skim Agihan Pakaian Seragam ‘Back to School’ yang dianjurkan ini adalah suatu tekad yang membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri melalui Zakat Pulau Pinang untuk membantu golongan asnaf di Pulau Pinang sebagai satu persediaan yang lengkap menghadapi sesi persekolahan yang akan datang tidak lama lagi.
“Agihan zakat bagi Skim Pakaian Seragam ‘Back to School’ telah diperuntukkan kepada semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) melalui Pusat Khidmat KADUN Kerajaan, Penyelaras KADUN, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang serta pihak sekolah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Difahamkan, program bantuan pakaian seragam sekolah kepada asnaf dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus menekankan kepentingan pendidikan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sekalian pelajar yang layak mendapat bantuan sewajarnya.
“Pelbagai bantuan pendidikan secara bersasar dengan kerjasama agensi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat korporat giat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa murid-murid yang kurang berkemampuan di negeri Pulau Pinang,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB