Tekong berdaftar di bawah SIMP terima bot, enjin baharu

whatsapp image 2024 09 24 at 09.31.42

BAYAN LEPAS – Seramai 98 tekong berdaftar di bawah Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek Silicon Island, termasuk 77 tekong dari Unit Nelayan Permatang Tepi Laut telah menerima bantuan bot dan enjin baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus berkata, kini Kerajaan Negeri akan menguruskan penyerahan bantuan bot dan enjin baharu kepada 194 tekong aktif dari Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

 

“(Sebelum ini), seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri, kita telah menyerahkan bot dan enjin baharu kepada 98 tekong berdaftar, dan 194 tekong dari tiga unit nelayan lain akan diuruskan penyerahan walaupun pelaksanaan projek hanya melibatkan pembangunan sebuah pulau sahaja.

 

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan tinjauan pilihan bot dan enjin baharu dalam kalangan nelayan dari Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul berdasarkan turutan pendaftaran SIMP dan keadaan bot dan enjin mereka.

 

“Bot baharu berukuran 27 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar ini dilengkapi dengan enjin yang berkapasiti lebih besar iaitu 90 atau 100 kuasa kuda tertakluk kepada jenama pilihan tekong masing-masing.

 

“Setiap tekong Tahap 1 yang berkelayakan juga akan menerima kelengkapan seperti robot, sonar, GPS dan pukat untuk membantu mereka pergi lebih jauh untuk mendapat hasil tangkapan yang lebih lumayan,” katanya semasa menghadiri Majlis Kesyukuran Penyempurnaan Serahan Bot & Enjin dan Doa Selamat bagi Kerja-Kerja Pembinaan Bangsal Nelayan Unit Permatang Tepi Laut di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut baru-baru ini.

 

Hadir sama, Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn. Bhd., Azmi Mohamad.

 

Seiring dengan bantuan ex-gratia, Farizan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM10,599,260 bayaran ex-gratia ke dalam akaun nelayan yang berdaftar di bawah skim SIMP setakat ini.

 

“Daripada 877 nelayan berdaftar, seramai 680 nelayan telah menerima bayaran penuh ex-gratia manakala 53 orang telah menerima 75 peratus bayaran ex-gratia mengikut kelayakan tahap dan kategori masing-masing.

 

“Proses pembayaran masih diteruskan untuk baki nelayan yang mana dokumen sokongan masih dikemaskinikan.

 

“(Selain itu), di bawah skim SIMP, tekong dari Unit Nelayan Permatang Tepi Laut yang menambat bot di kawasan Sungai Bayan Lepas juga layak menerima bangsal baru. Dua bangsal contoh telah siap dibina dan diserahkan kepada nelayan pada Oktober tahun lepas,” jelasnya.

 

Tambah Farizan lagi, baki 61 unit bangsal akan dibina secara berfasa yang mana kerja pembinaan untuk fasa pertama bagi 12 buah bangsal telah dimulakan dan dijangka siap pada Ogos 2025.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Farizan memaklumkan bahawa seramai 20 nelayan telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) daripada Jabatan Laut Malaysia yang membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan pengangkutan air selain menjadi nelayan.

 

“Antara mereka, lima orang nelayan telah diambil bekerja sebagai jurumudi dalam projek Silicon Island dan ini merupakan sebahagian manfaat daripada Skim SIMP,” katanya.

 

Gambar : PICSB