GEORGE TOWN – Sejumlah RM28,832,650 pembayaran di bawah program i-Sejahtera Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dikreditkan kepada 209,737 penerima sehingga 5 Februari 2021.
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, pembayaran fasa pertama Pindahan Wang Eelektronik (EFT) yang telah bermula sejak 1 Februari lalu adalah membabitkan para penerima di bawah Program Penghargaan warga Emas (PPWE), Program Bantuan Ibu Tunggal dan Program Ibu Emas.
“Seramai 157, 179 penerima di bawah Program Penghargaan Warga Emas telah menerima bayaran masing-masing membabitkan nilai keseluruhan RM23,576,850, diikuti 9,839 penerima Program Bantuan Ibu Tunggal (RM983,900) dan 42, 719 penerima Program Ibu Emas (RM4,271,900),” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 9 Mac 2021.
Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa pembayaran program i-Sejahtera secara EFT bagi ketiga-tiga program tersebut telah merekodkan sebilangan kecil penerima yang berstatus transaksi gagal.
Justeru, Boon Poh memaklumkan bahawa mod pembayaran tersebut akan ditukarkan kepada pembayaran tunai secara automatik.
“Pembayaran secara tunai ini akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai bergantung kepada situasi semasa wabak COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan di negeri Pulau Pinang.
“Jumlah penerima transaksi EFT yang gagal merangkumi 588 penerima warga emas, ibu emas (62) dan ibu tunggal (17) dengan jumlah keseluruhan seramai 667 orang,” maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.
Dalam kenyataan yang sama, Boon Poh memberitahu bahawa Program Bantuan OKU (Orang Kurang Upaya) Tahun 2021 kini dalam fasa pembayaran yang dijangka bermula pada 22 Mac dan selesai sepenuhnya pada 26 Mac depan.
“Kerajaan Negeri kini dalam persediaan untuk melaksanakan pembayaran fasa pertama transaksi EFT bagi program (bantuan OKU) berkaitan, di mana pembayaran EFT kali ini melibatkan penerima akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), penerima akaun bank-bank lain dan penerima yang mencatatkan transaksi EFT gagal pada tahun 2020.
“Penerima akaun BSN membabitkan 10,732 orang, bank-bank lain (733) dan transaksi EFT gagal pada tahun 2020 seramai 416 orang dengan keseluruhan penerima bantuan OKU pada tahun ini seramai 11,881 orang,” jelasnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN