GEORGE TOWN – Sebanyak 21 pasukan bakal berentap dalam kejohanan badminton bagi merebut Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2024.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran kejohanan yang memasuki tahun kedua tersebut menyaksikan sambutan amat memberangsangkan setelah penyertaan ditutup pada 7 September lalu.
“Kejohanan ini bakal disertai oleh 210 pemain yang mana kesemua pasukan bertanding akan berentap dalam pusingan awal bagi merebut piala saringan pada 12 dan 13 Oktober 2024.
Sebanyak 11 pasukan akan bertanding untuk ‘Piala Penang2030’ di bahagian pulau di Kelab Rekreasi Cina Pulau Pinang manakala 10 pasukan lagi di bahagian Seberang Perai untuk ‘Piala LovePenang’ yang akan berlangsung di Jessel Ball Pearl City Sports, Simpang Ampat.
“Pasukan johan dan naib johan bagi ‘Piala Penang2030’ dan ‘Piala LovePenang’ kemudiannya bakal berentap pada perlawanan ‘cross-match’ dalam pusingan akhir pada 20 Oktober 2024 di Kelab Rekreasi Cina Pulau Pinang bagi merebut piala kejohanan, Piala Ketua Menteri,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd. Balkish Othman; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lau Keng Ee; Pengarah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota, Ewe Chee Way dan Pengerusi Penang Forward Sports Club, Lim Choo Hooi.
Turut serta, wakil Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan barisan penaja dari BSG Property; Inter Great Group of Companies; Hunza Properties Berhad; Baguss Enterprise Sdn. Bhd.; Iconic Group Sdn. bhd.; RedONE Mobile dan Dato’ Tom Khoo.
Mengulas lanjut, Kon Yeow percaya bahawa kejohanan berkaitan sedikit sebanyak menyediakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda dan pemain berpotensi untuk berentap di arena yang lebih besar.
“Saya juga berharap kejohanan ini dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing,” katanya.
Bercakap mengenai hadiah yang bakal ditawarkan, Kon Yeow memaklumkan bahawa pasukan pemenang akan membawa pulang wang tunai, trofi berserta pingat.
Jumlah wang tunai yang ditawarkan adalah sebanyak RM27,000 yang mana johan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 manakala naib johan RM2,000.
“Selain itu, setiap pemain juga dijemput hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah dan Majlis Makan Malam serta layak menyertai cabutan bertuah yang mana mereka berpeluang memenangi hadiah utama berupa lima motosikal yang ditaja oleh Dato’ Tom Khoo, lima telefon pintar ditaja oleh RedONE Mobile serta pelbagai hadiah menarik,” jelasnya.
Mengambil kesempatan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut mempelawa semua peminat sukan badminton untuk hadir dan memeriahkan kejohanan pada 20 Oktober 2024 dari jam 10 pagi sehingga 4 petang bertempat di Kelab Rekreasi Cina Pulau Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING