21,272 murid terima bantuan persekolahan, libat RM3.19 juta dana zakat

Admin
img 5676 MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kiri) dan Rosidi Hussain (empat dari kiri) memegang cek replika Skim Agihan Zakat ‘Kembali Ke Sekolah 2025’ berjumlah RM3,190,800.00 dalam majlis berkaitan bersama-sama Fahmi Zainol (dua dari kiri) dan dua lain di sini pada petang tadi.

PANTAI JEREJAK – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat Pulau Pinang menyalurkan sumbangan bantuan persekolahan bernilai RM3.19 juta atau RM150 seorang kepada 21,272 murid yang layak.

img 5673
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata bahawa pihaknya berharap pada kali ini tiada lagi murid yang tercicir daripada mendapat bantuan persekolahan melalui sumber dana zakat negeri, memandangkan data penerima diperoleh secara langsung daripada pihak sekolah.

“MAINPP mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bantuan kemasyarakatan secara holistiK, antara pendekatan yang dilaksanakan adalah memperkasakan skim agihan zakat yang lebih efisien dan efektif dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan.

“Penyaluran agihan Skim (Agihan Zakat) ini adalah melalui penebusan tanpa tunai yang akan melibatkan 24 ‘outlet’ yang dilantik oleh MAINPP dengan hanya menggunakan kad pengenalan penerima,” jelasnya dalam majlis berkaitan di dewan jamuan Sunshine Square di sini pada 25 Januari 2025.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut merakamkan penghargaan kepada Sunshine Square atas sumbangan dan tajaan beg sekolah kepada 50 penerima, sempena majlis yang diadakan pada hari ini.

img 5668
ROSIDI Hussain

Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain turut berucap pada majlis tersebut.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi merangkap ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol antara pemimpin yang hadir pada majlis agihan bantuan persekolahan daripada sumber zakat tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB