22 pemenang peraduan anjuran Buletin Mutiara dimuktamad

GEORGE TOWN – Senarai 22 pemenang bagi enam pertandingan yang dianjurkan oleh Sidang Redaksi Buletin Mutiara telah dimuktamadkan semalam, 21 Ogos.

Enam pertandingan yang dimaksudkan adalah Bakat Si Cilik Mewarna bertemakan ‘Teguh Bersama Raya Bermakna’; pertandingan melukis poster bertemakan ‘Raya Dirai Masyarakat Madani’; pertandingan vlog bertemakan ‘Raya di Penang’ & ‘Hari Buletin 2.0’ (secara dalam talian); serta Silang Kata ‘Dari Gabenor ke T.Y.T’ membabitkan kolaborasi bersama Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) bagi siri ketiga dan keempat.

BARISAN panel juri bergambar kenang-kenangan menerima cenderahati dari pihak penganjur.

Penjurian proses pemilihan akhir pada pemenang bagi semua kategori tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), B. Jevartnam.

WONG Yue Harng.

Ketika ditemui usai penjurian, Yuee Harng menyambut baik usaha yang dilakukan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara dan berharap penganjuran peraduan berkaitan sekali gus dapat mencungkil kemahiran serta bakat para peserta dalam pelbagai kategori.

“Peserta yang mengambil bahagian dan menang dalam pertandingan tersebut pastinya akan menjadi kenangan yang baik untuk mereka ketika zaman kanak-kanak.

“Kami berharap Buletin Mutiara akan terus menganjurkan pelbagai pertandingan dan menjalankan lebih banyak aktiviti untuk kanak-kanak.

“Penyertaan peraduan berkaitan juga telah menonjolkan perpaduan berbilang kaum bukan sahaja dari negeri ini malah negeri jiran juga amat bertepatan dengan tema Madani dan diharapkan ia kekal berterusan,” jelasnya lanjut.

B. Jevartnam.

Sementara itu, Jevartnam pula memuji usaha mempromosikan Kerajaan Negeri ini melalui peraduan menarik seperti ini.

“Mungkin untuk pusingan seterusnya, Buletin Mutiara boleh pula menganjurkan pertandingan seperti menghias beca yang menjadi warisan kita dek Pulau Pinang terkenal dengan nilai warisannya yang tersendiri.

“Secara tidak langsung, peraduan (Buletin Mutiara) ini berupaya menjadi hab tarikan pelancong dan mampu menambah baik aspek pembangunan untuk setiap kawasan dan sebagainya,” tambahnya sambil memuji peraduan berkenaan berjaya menarik penyertaan ramai dengan menampilkan pelbagai elemen kreativiti.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS