22 penduduk setinggan Permatang Damar Laut terima rumah pampasan

Admin
9f5f42f0 4791 45ce 88fe 26bb7eae00c6 S. Sundarajoo (dua dari kanan), Fakhurrazi Ibnu Omar (kanan sekali) dan seorang lain menyaksikan Sim Tze Tzin (dua dari kiri) menyampaikan kunci replika kepada salah seorang penerima Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A di bawah Skim Perumahan Pangsapuri Idaman Prestij (K-Park) dekat Balik Pulau dalam majlis berkaitan di sini pada 25 Januari 2025.

PULAU BETONG – Seramai 22 dari 39 penduduk setinggan di Permatang Damar Laut, Batu Maung hari ini menerima serahan kunci unit kediaman Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A masing-masing di bawah Skim Perumahan Pangsapuri Idaman Prestij (K-Park) dekat Balik Pulau.

aef050fa 7b5d 4bd0 ae6e 48d901ae3c90
S. Sundarajoo

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) menyediakan rumah pampasan di bawah skim tersebut yang mana terdiri daripada empat blok 15 tingkat di sini.

“Harga seunit RM42,000 yang kosnya ditanggung sepenuhnya oleh pemilik tanah iaitu Allstar Icon Sdn. Bhd..

“Walaupun kos rumah ditanggung oleh pihak pemilik tanah, penerima (unit rumah pampasan) tetap perlu membayar yuran penyelenggaraan sebanyak RM110 sebulan dan deposit RM2,534 sebagai sebahagian daripada yuran tersebut.

“Skim (RMKu di K-Park) ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta bertingkat, taman permainan dan dewan orang ramai.

“Ini, adalah peluang keemasan daripada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk setinggan di Permatang Damar Laut, Batu Maung,” ujarnya sebelum menyerahkan kunci replika kepada para pemberian berkenaan di Dewan Orang Ramai K-Park di sini pada 25 Januari 2025.

Pada perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini melalui LPNPP sedang giat melaksanakan projek penempatan semula penduduk di beberapa kawasan seperti Ujong Batu, Kampung Main Road, Kampung Manis, Ladang Sungai Kechil dan Kampung Ladang Kalidonia.

d8b5082c 8d33 464b 880e d98e79f1aa8b
BARISAN pemimpin negeri merakamkan gambar kenangan bersama-sama para pemegang taruh bagi projek Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A di bawah Skim Perumahan Pangsapuri Idaman Prestij (K-Park) dekat Balik Pulau di sini pada petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo berkata, pihaknya menyasarkan penyediaan 220,000 Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang tahun 2030 yang mana pencapaian setakat ini sebanyak 163,310 unit kediaman atau 74.33 peratus.

Sasaran kedua, beliau memberitahu bahawa pihaknya mahu menyediakan 22,000 unit kediaman RMM melalui skim sewa beli (RTO) dengan pencapaian setakat ini adalah berjumlah 4,534 unit atau bersamaan 20.85 peratus.

Manakala sasaran ketiga pula, beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan manfaat kepada 3,000 keluarga melalui Skim Pembaharuan Semula Bandar yang mana melibatkan pencapaian 6,021 unit kediaman dalam lima projek perintis LPNPP.

40ea87c0 99a1 4a95 96f7 e6192bd80ef2
SIM Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim antara yang turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Perundangan LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim; dan Penyelaras KADUN Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT