23 Ahli Majlis MBPP mengangkat sumpah, komited tunai Manifesto PRN

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 23 orang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengangkat sumpah pengakuan penerimaan jawatan berkaitan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi untuk tempoh 1 Oktober sehingga 31 Disember 2024.

 

 

Daripada jumlah tersebut,11 muka lama dikekalkan manakala 12 Ahli Majlis adalah lantikan baharu.

 

 

Kon Yeow ketika berucap mahu MBPP memberikan komitmen penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan manifesto-manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan Visi Penang2030.

 

 

“Terima kasih diucapkan kepada MBPP atas komitmen yang telah diberikan terhadap Visi Penang2030 dalam menjadi sebuah negeri pintar, hijau dan seterusnya menjadi inspirasi kepada negara.

 

 

“Di samping itu saya juga ingin mengharapkan MBPP untuk memberi komitmen dan membantu Kerajaan Negeri menunaikan 50 perkara dalam manifesto 2023, apabila kita buat janji PRN, kita memang bercadang untuk memenuhi semua janji-janji kita seperti mana manifesto penggal yang lepas, kita berjaya capai 94 peratus daripada apa yang kita janjikan.

 

 

“Jadi, bagi penggal ini 50 perkara sudah dijanjikan bertunjangkan 16 tema utama, di mesyuarat peringkat Exco pun kita sudah agihkan mengikut portfolio, maka setiap ahli Exco adalah bertanggungjawab terhadap 50 janji ini yang semestinya melibatkan agensi-agensi terlibat.

 

 

“Justeru, apa yang dicapai oleh MBPP pastinya boleh menjadi KPI (indeks penunjuk prestasi) bagi Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye,” ujar Kon Yeow pada Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis-Ahli Majlis MBPP dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota pagi tadi.

 

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Ketua-ketua Jabatan.

 

 

Kon Yeow juga meletakkan keyakinan tinggi kepada Ahli-ahli Majlis lantikan penggal ini untuk terus komited dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi standard kualiti dan piagam pelanggan ditetapkan.

 

 

“Ini sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang harmoni, progresif dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan seluruh penduduk di sini,” kata Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komuniksi.

 

Mooi Lye dalam satu sidang media berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu calon Ahli Majlis daripada parti UMNO.

 

 

“Apa yang dimaklumkan, UMNO perlu sedikit masa untuk mengumumkan calon-calon bagi Ahli Majlis, saya percaya minggu ini kita boleh dapat nama-nama calon daripada parti UMNO.

“Kita juga tidak meletakkan tempoh tertentu kerana dengan lapan orang Ahli Majlis dan serorang Datuk Bandar, kita sudah boleh tubuhkan Kerajaan Tempatan selaras dengan undang-undang,” jelas Mooi Lye kepada pemberita.

 

 

Difahamkan satu kerusi diperuntukan kepada UMNO bagi MBPP dan dua lagi kerusi bagi Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

 

Oleh : WATAW NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS