24 Ahli Majlis MBSP termasuk seorang muka baru angkat sumpah terima jawatan

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tahun 2023 termasuk seorang muka baru mengangkat sumpah penerimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi.

Semua Ahli Majlis yang dilantik adalah untuk tempoh lapan bulan mulai 1 Januari sehingga 31 Ogos 2023 selaras dengan Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuti Bakar; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Ahli-ahli Exco; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid serta Datuk Bandar Majlid Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Ketua Menteri bersama-sama barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan Azhar Arshad seusai Majlis Mengangkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP dekat Menara Bandaraya di sini.

Semasa berucap, Kon Yeow menyeru semua Ahli Majlis supaya bertindak sebagai penghubung di antara rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Ahli Majlis juga perlu memberikan kerjasama rapat kepada Datuk Bandar dan warga kerja MBSP dalam memberikan perkhidmatan lebih cekap, berkesan dan responsif kepada komuniti kehendak Seberang Perai.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Ahli Majlis yang dilantik untuk menggalas tanggungjawab ini.

“Semoga aspirasi untuk mentransformasikan Seberang Perai sebagai nadi pembangunan masa depan negeri Pulau Pinang dapat diterjemahkan demi negeri dan negara yang makmur, harmoni serta sejahtera,” katanya.

Ketua Menteri semasa menyampaikan ucapan.

Menurut Kon Yeow, 2022 merupakan tahun mencabar buat MBSP apabila berlakunya bencana kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Namun, saya kira MBSP telah berjaya mengatasi masalah ini dengan baik dan mengambil inisiatif yang sewajarnya untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di lokasi tersebut.

“Justeru, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja MBSP dan Ahli Majlis atas komitmen serta kerjasama cemerlang yang telah diberikan.

“Bersama tekad dan semangat baru pada tahun ini, lebih banyak kecemerlangan dan kegemilangan bakal pacu sejajar dengan tekad untuk mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep turut mengingatkan Ahli-ahli Majlis yang dilantik supaya tidak leka dengan pelbagai kejayaan yang dicapai oleh MBSP kerana masih banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian serius.

“Kita ada pelbagai dokumen penting termasuk Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) dan Visi Penang2030 yang memerlukan Ahli Majlis berada di lapangan bagi merealisasikan dokumen ini,” ujarnya.

Antara Ahli Majlis MBSP yang dilantik semula tahun ini.

Dalam pada itu, Azhar menyeru semua Ahli Majlis dan warga MBSP supaya mengekalkan budaya kerja berpasukan, proaktif, inovatif dan inklusif kepada pandangan rakyat bagi memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Kita tidak dapat lari dan tidak boleh mengelak untuk bekerja dalam satu pasukan kerana pasukan yang mantap sangat penting bagi sesebuah organisasi seperti MBSP.

“Amalan bermusyawarah atau perbincangan bagi memperoleh kata sepakat daripada pelbagai aspek untuk mencapai sesuatu kejayaan perlu sentiasa diamalkan,” serunya lagi.

Difahamkan, seramai 10 Ahli Majlis yang dipilih ialah daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat, PKR (9), Parti Amanah Negara, Amanah (2) dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO (3).

Buletin Mutiara juga berkesempatan menemu bual Ahli Majlis yang baru dilantik bagi tahun ini iaitu Normahani Muhamad, 62, untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aspirasi beliau terhadap masa depan Seberang Perai.

Normahani Mohamad satu-satunya muka baru yang dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP tahun 2023.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Pulau Pinang akan memberikan tumpuan terhadap usaha untuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu anak muda menyambung pelajaran serta mengikuti kursus kemahiran – khusus terutama mereka yang keciciran dalam pelajaran atau lemah dalam bidang akademik.

“Selain itu, saya juga akan mencari inisiatif untuk membina lebih banyak tempat bagi membolehkan anak-anak muda menjalankan perniagaan,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebagai Ketua Wanita Amanah Permatang Pauh, beliau turut memberikan tumpuan kepada isu-isu wanita terutama berkaitan isu pusat jagaan anak-anak.

“Saya akan mencari jalan untuk membantu mengurangkan yuran pusat jagaan yang semakin mahal pada masa ini supaya wanita bekerja dapat menghantar anak-anak ke pusat jagaan yang selamat.

“Sudah tentu sebagai pesara guru, saya juga akan menitik beratkan isu-isu pendidikan dengan fokus akan diberikan kepada sukatan dan latihan untuk guru-guru tadika,” katanya yang merupakan mantan pengetua di Sekolah Mengengah Kebangsaan Alma, Bukit Mertajam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS