TELUK AIR TAWAR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan pemberian sumbangan RM5,000 masing-masing kepada semua 24 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri Pulau Pinang.
Beliau yang juga Exco Pembangukan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi mengumumkan perkara itu semasa merasmikan Majlis Perasmian Mini Karnival OKU PPDK Peringkat Negeri Pulau Pinang di Robina Eco Park dekat sini pada 18 Februari 2023.
Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan Program Bantuan OKU i-Sejahtera sejak tahun 2011 yang mana sehingga kini telah menyalurkan sumbangan bantuan sebanyak RM14.04 juta kepada 109,344 penerima.
“Pada peringkat permulaan, nilai sumbangan sebanyak RM100 setahun diberikan kepada pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang bermastautin di negeri ini.
“Bermula pada tahun 2018, nilai sumbangan telah ditingkatkan kepada RM130, kemudiannya RM150, dan mulai tahun 2022, nilai sumbangan adalah RM200 setahun,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sehingga Februari 2023, Kon Yeow memberitahu bahawa laporan statistik berkaitan menunjukkan bahawa Pulau Pinang mempunyai seramai 34,445 OKU berdaftar.
Berucap sebelum itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu menyatakan bahawa pada peringkat kementerian menganggap kira-kira 10 peratus daripada populasi warganegara adalah dalam kelompok OKU.
Namun, kata beliau, sehingga bulan Disember tahun lepas menyaksikan seramai 633,636 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri-negeri adalah menyamai kira-kira 2.4 peratus dan angka peratusan itu adalah masih rendah.
Manakala, Timbalan Ketua Pengarah Strategik (Strategik) JKM Malaysia, Rosmahwati Ishak berkata bahawa pihaknya berharap komuniti lokal serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan membantu JKM meningkatkan peratusan pendaftaran OKU tersebut.
Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng; ADUN Teluk Air Tawar, Dato’ Mustapha Ahmad; Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Zakaria Taib merupakan antara kira-kira 1,000 hadirin yang menyertai karnival mini tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT