25 lagi koperasi terima geran RM235,000, sasar perkasa koperasi peringkat sekolah

Admin

BERTAM – Sebanyak 25 badan koperasi di Pulau Pinang menerima geran koperasi peruntukan Kerajaan Negeri yang berbaki RM235,000 untuk penyampaian kali kedua pagi tadi.

 

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, jumlah geran keseluruhan pada tahun ini yang diberi oleh Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM450,000.

 

 

“Walaupun portfolio koperasi sebenarnya di bawah kuasa Persekutuan, namun Kerajaan Negeri memberi penekanan yang kuat, penting kepada pergerakan koperasi sebab ia adalah agenda sosio ekonomi rakyat dan mampu memperkasakan komuniti.

 

 

 

“Apabila kita sebut pula tenting sosio ekonomi ini, biasanya ia melibatkan golongan rakyat marhaen, untuk meningkatkan pendapatan golongan sasar jadi Kerjaan Negeri telah bersetuju untuk memberi geran tahunan RM450,000 kepada pergerakan koperasi di Pulau Pinang.

 

 

 

“Alhamduliilah, hari ini kita akan sampaikan geran koperasi berjumlah RM235,000 kepada 25 buah badan koperasi bernilai RM5,000 hingga RM10,000 yang mana kebanyakkannya adalah koperasi sekolah,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Bantuan Penang2030 COOP Grant Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kailan, Kepala Batas di sini pagi tadi.

 

 

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang Norlelah Samsuddin dan Timbalan Pengarah SKM Pulau Pinang, Shahrizan Abdullah antara yang hadir pada majlis tersebut.

 

 

 

Zakiyuddin dalam pada itu turut mahu memperkasakan gerakan koperasi peringkat sekolah dalam menggalakkan penyertaan golongan remaja dalam koperasi.

 

 

 

“Kita mahu bagi kesedaran kepada anak-anak kita untuk membudayakan bekerja bersama orang lain, tolong menolong, bantu membantu merupakan perkara yang baik dipraktikkan dalam masyarakat.

 

 

 

“Sebab itu kita mahu pupuk nilai ini supaya anak-anak kita dapat bawa dalam jati diri mereka dengan sikap tolong menolong dan berinteraksi dengan lapisan lain dalam kehidupan mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD