25 November tarikh akhir kemukakan ROI MDC bagi pembangunan PSI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mempelawa mana-mana arkitek serta perancang bandar terkemuka Malaysia dan antarabangsa untuk mengemukakan Registration Of Interest (ROI) bagi menyertai Masterplan Design Competition (MDC) projek tambakan laut di selatan pulau Pulau Pinang atau Penang South Reclamation (PSR).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, ROI bagi projek pembangunan tiga pulau di selatan pulau Pulau Pinang itu akan diterima sehingga jam 5 petang (waktu Malaysia) pada 25 November 2019.

“Sepanjang tempoh pertandingan MDC ini, PSR akan dikenali sebagai Penang South Islands (PSI) yang mana pelan pembangunannya secara umum memberi penekanan terhadap aspek ekonomi, sosial dan persekitaran sejajar dengan Visi Penang2030.

“Ini merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menjemput penyertaan konsortium yang terdiri daripada pelbagai disiplin serta berkelayakan untuk mengambil bahagian.

KETUA Menteri menunjukkan contoh iklan untuk siaran akhbar arus perdana pada sidang media di Dewan Sri Pinang tadi.

“Konsortium perlu terdiri daripada arkitek dan perancang bandar berdaftar serta bertauliah sama ada dari Malaysia mahupun antarabangsa termasuk pakar-pakar dalam bidang ekonomi, bandar pintar, kejuruteraan, teknologi dan inovasi, mobiliti dan pengangkutan, landskap, pembangunan mampan serta reka bentuk alam sekitar,” ujarnya pada sidang media di Dewan Sri Pinang dekat sini tengah hari ini.

 

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng; Timbalan Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong; Pengerusi Pertubuhan Arkitek Malaysia Northern Chapter (PAMNC), Ar. Lee Siew Ang; Pengarah MDC, Ar. Loh Chiak Eong dan Penasihat Pertandingan MDC, Ar. Ang Chee Cheong antara yang turut serta dalam sidang media tersebut.

 

CADANGAN pembangunan bagi tiga pulau di selatan Pulau Pinang dibuka sehingga 25 November 2019.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM5 juta bagi penganjuran pertandingan termasuk bayaran honorarium AS$125,000 kepada setiap finalis.

“Seramai lima finalis akan disenarai pendek melalui proses kelayakan awal sebelum cadangan reka bentuk dikemukakan.

“Pemenang cadangan reka bentuk pelan induk yang dipilih oleh Panel Juri Utama akan dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bakal dijadikan sebagai Lead Master Plan Designer tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

“(Dan) melalui pertandingan ini juga, PSI akan dinamakan semula berdasarkan cadangan yang sesuai,” katanya.

CHOW Kon Yeow.

Apabila ditanya mengenai jenis pembangunan di ketiga-ketiga pulau tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mengharapkan konsep pembangunan bercampur yang terdiri daripada kawasan industri, kawasan komersial, kawasan kediaman dan kawasan dermaga (wharf) berdasarkan nasihat-nasihat yang diberikan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

“MPFN memberikan nasihat agar diwujudkan taman perindustrian pintar (di salah sebuah pulau) yang akan menjadi kawasan strategik serta memberi kesinambungan terhadap kawasan Zon Perindustrian Bayan Lepas sedia ada.

“Semua nasihat-nasihat yang diberikan oleh MPFN juga akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan cadangan reka bentuk dilaksanakan,” jelasnya.

Sebagai makluman, projek berkenaan bakal menyediakan Pulau Pinang ke arah Industri 4.0 dengan merealisasikan ciri-ciri bandar pintar dilengkapi dengan sistem pengangkutan cekap dan bersepadu sekaligus meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan serta pelancongan bertaraf antarabangsa.

Maklumat lanjut mengenai MDC serta borang ROI boleh didapati melalui laman sesawang berikut; https://pg-mdc.com/.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALVIE CHENG