268 penduduk asal Kampung Ujong Batu layak ditawarkan rumah gantian secara percuma – Exco

Admin
726e668b 9ae1 484b 8e38 f5b7fa268068 BERSAMA-SAMA pemimpin Kerajaan Negeri, 30 daripada 268 penduduk asal Kampung Ujong Batu dekat Parai masing-masing mengangkat Surat Niat (LoI) berkaitan tawaran unit kediaman gantian secara percuma, dalam majlis berkaitan di Perai pada petang tadi.

PERAI – Seramai 268 penduduk asal Kampung Ujong Batu layak menerima unit kediaman jenis strata dengan luas lantai 750 kaki persegi dan bernilai maksimum RM100,000 di sini kelak.

dec6974a e402 41fa a5a6 8ee27cc08058
S. Sundarajoo

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, tapak cadangan projek penempatan semula penduduk asal Kampung Ujong Batu yang layak itu terletak berdekatan
dengan Projek Pembangunan Semula Kampung Manis dan Kampung Main Road dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini.

Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata demikian semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Bersama-sama Penduduk Ujong Batu di atas Lot 20087, Seksyen 4, Bandar Butterworth, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada 8 Disember 2024.

“Bagi meyakinkan lagi para penduduk di sini terhadap cadangan pembangunan Kampung Ujong Batu ini, pihak Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan mengemukakan Surat Niat (Letter of Intent – LoI) kepada 268 pemilik struktur yang diklasifikasikan sebagai penerima unit gantian yang layak.

“Pada hari ini, sebanyak 30 pemilik struktur telah dipilih secara simbolik untuk menerima surat tersebut serta pemilik struktur yang lain yang layak akan menerima surat tersebut di kaunter yang disediakan selepas ini.

“Lokasi tapak cadangan bagi pembangunan projek ini terletak di Bandar Perai yang mana ia berdekatan dengan dua jalan utama iaitu Jalan Bagan Dalam serta Jalan Assumption dan juga dihubungkan dengan (lebuh raya) Lingkaran Luar Butterwortu (BORR),” jelasnya dalam majlis yang dianjurkan oleh agensi negeri, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) itu.

5b2fa272 58a5 4581 80c3 45d1f536abe7
S. Sundarajoo (dua dari kiri) bersama-sama beberapa pemimpin lain menyaksikan Lim Guan Eng (tiga dari kanan) menyampaikan Surat Niat (LoI) kepada salah seorang penduduk asal Kampung Ujung Batu yang layak menerima unit kediaman gantian dalam projek penempatan semula kelak, di sini pada 8 Disember 2024.

Buletin Mutiara difahamkan, kesemua 268 penduduk asal Kampung Ujong Batu yang layak berkenaan akan menerima unit kediaman gantian kategori Rumah Mampu Milik Jenis B2 (RMMB2) secara percuma, dengan luas lantai 750 kaki persegi dan bernilai maksimum RM100,000.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata projek penempatan semula Kampung Ujong Batu tersebut akan merangkumi dua fasa pembangunan.

Pembangunan fasa pertama, menurutnya, akan melibatkan bangunan unit-unit gantian serta bangunan unit-unit RMMB2 yang secara keseluruhannya dianggarkan sebanyak 500 unit; termasuk 300 unit bakal ditawarkan sebagai unit gantian), unit kedai/ruang komersial, kemudahan masyarakat serta tempat letak kereta.

Manakala dalam pembangunan bagi fasa kedua, menurutnya lagi, akan merangkumi pembangunan bercampur seperti Rumah Mampu Milik Jenis C3 (RMMC3) yang terdiri daripada kemudahan masyarakat, tempat letak kereta, unit dan kemudahan kedai/ruang komersial.

“Saya yakin bahawa cadangan pembangunan projek ini akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat dengan adanya pembangunan perumahan yang teratur dan efisien.

“Pada masa sama, pembangunan ini juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan adanya ruang-ruang komersial yang dapat menjana pendapatan serta peluang pekerjaan, selain penyediaan pembangunan lebih terancang dengan laluan trafik yang lebih lancar,” kata Sundarajoo lagi.

7f8c4cf3 a36a 470a 8c2c a45ac050730a
LIM Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga mantan Ketua Menteri dan ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran turut berucap dalam sesi libat urus tersebut di sini pada tengah hari tadi.

Hadir sama, ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Penguatkuasa dan Perundangan LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), C. Linggeswaran.

53ebdf6c 23e5 48fe b8ef 61fe017741a6
K. Kumaran

Terdahulu, isu sejumlah 340 struktur dan unit kediaman di atas tanah seluas 15.23 ekar – di atas Lot 20087 dan sebahagian Tanah Kerajaan – yang dikenali sebagai Kampung Ujong Batu merupakan antara isu malar segar dihadapi oleh mereka berkenaan dan Kerajaan Negeri sendiri.

Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri melalui LPNPP dalam bancian yang dibuat pada 24 November lepas mendapati bahawa sebanyak 268 struktur atau unit kediaman merupakan struktur atau unit kediaman telah dikenal pasti dan diklasifikasikan sebagai struktur yang layak untuk menerima unit gantian yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Negeri pada masa akan datang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LPNPP